
ULANG tahun perkahwinan seharusnya dijadikan satu kesempatan untuk meraikan perjalanan hidup bersama pasangan, bukan sekadar sambutan semata-mata.
Peguam syarie, Nurul Atikah berpandangan bahawa hari istimewa itu perlu dijadikan ruang untuk menghargai segala pengorbanan, kesedihan, kesusahan, kegembiraan dan pencapaian yang ditempuhi sepanjang melayari bahtera rumah tangga.
Menurutnya, sambutan ulang tahun perkahwinan penting untuk menilai kembali perjalanan hidup bersama selain memperbaharui penghargaan terhadap pasangan.
“Biasakan sambut ulang tahun perkahwinan ya. Sebenarnya bukan semata-mata meraikan tarikh, tetapi lebih kepada menghargai segala suka duka yang ditempuhi bersama.
"Raikan diri sendiri kerana bertahan. Berterima kasih kepada diri anda atas perjalanan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Threads peguamsyarie_atikah pada Selasa.
Tambah beliau, perkahwinan bukanlah laluan yang mudah kerana ia penuh dengan cabaran dan dugaan.
Namun dalam masa sama, ia juga dipenuhi dengan keindahan dan kebahagiaan yang tidak ternilai.
“Perkahwinan ini sebenarnya perjalanan yang penuh dengan onak dan duri tapi pada masa sama penuh juga dengan bunga dan pelangi.
"Jadi, berikan kredit kepada diri sendiri dan pasangan kerana berjaya mengharungi satu tahun lagi,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram