
SEORANG wanita berkongsi tentang strategi pemasaran berjaya pempengaruh yang juga usahawan terkemuka, Khairul Aming.
Berdasarkan pemerhatiannya, wanita itu berkata, pendekatan digunakan oleh pengasas Sambal Nyet itu bukan sahaja kreatif, tetapi turut mencipta hubungan emosi yang kuat dengan pelanggan.
Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads bukantinilagi ujarnya, beliau secara tidak sengaja menganalisis faktor ramai pengguna 'melekat' dengan kandungan yang dihasilkan Khairul Aming atau juga mesra disapa KA.
Hasilnya, tiga pandangan menarik telah dikongsikan dan mungkin berguna untuk pemilik bisnes lain yang ingin mencontohi kejayaannya.
BACA LAGI: Sepsis, pendarahan antara komplikasi punca kematian wanita hamil atau selepas bersalin — Pakar
1. Di balik tabir
Kekuatan utama dalam pemasaran Khairul Aming adalah ketelusannya dalam berkongsi kandungan di sebalik tabir.
Bukan sekadar proses penghasilan produk, bahkan cara penggambaran video turut ditampilkan.
“Kita nampak bersihnya kilang beliau, usahanya nak ambil video cantik-cantik.
"Kita nampak perkembangan dan peningkatan beliau.
"Dia beli jiwa kita dulu guys, bijak bijak!” jelasnya.
Pendekatan itu membina rasa percaya dan keyakinan pelanggan terhadap jenama, seolah-olah mereka turut serta dalam perjalanan jatuh bangun KA sebagai usahawan.
2. Kandungan seperti rollercoaster
Tambah wanita itu lagi, kekuatan lain adalah terletak pada gaya penyampaian video Khairul Aming yang penuh dinamik.
“Setiap dua hingga saat ada saja stimulus baharu, sekejap KA alih suara, sekejap bagi orang dalam video pula bercakap, sekejap video saja.
"Memang akan buatkan orang ramai untuk tonton sampai habis sebab tak bosan,” katanya.
Beliau turut memetik ucapan KA dalam satu acara.
"View rendah bukan salah siapa-siapa. Kandungan kita yang bosan'," katanya.
Wanita itu mengakui kebenaran kenyataan tersebut dan menyeru pemilik bisnes lain agar jangan terlalu syok sendiri dalam menghasilkan kandungan.
Khairul Aming berjaya mengekalkan kepercayaan pelanggan menerusi kandungan video yang dihasilkan. — Instagram/khairulaming
3. Mendengar, bertindak
Selain itu, KA juga bersikap proaktif dan terbuka menerima maklum balas.
“Bila orang mengadu botol bocor, beliau jelaskan. Orang cakap susah nak dapat stok, KA jelaskan tentang batch production dan kenapa perkara itu berlaku," tulisnya.
Menurutnya, pendekatan tersebut mewujudkan situasi menang-menang.
Pengguna rasa dihargai dan Khairul Aming pula berjaya mengekalkan kepercayaan pelanggan walaupun berdepan cabaran.
Hantaran wanita itu telah mendapat pelbagai reaksi positif di media sosial, dengan ramai bersetuju bahawa pemasaran usahawan kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu bukan sekadar tentang menjual produk, tetapi membina kepercayaan dan emosi bersama pelanggan.
Untuk para usahawan di luar sana, mungkin inilah masanya untuk menilai semula strategi pemasaran anda dan belajar daripada yang terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram