Remaja 17 tahun bangunkan platform lindungi warga emas selepas datuk nyaris ditipu sindiket siber


  • Sukses
  • Khamis, 11 Sep 2025

Sebagai pelajar tahun akhir sekolah menengah, Tejasvi merancang melanjutkan pelajaran dalam bidang sains komputer, dengan minor dalam AI atau keselamatan siber. — Agensi

DIGELAR sebagai ‘pembela digital’, Tejasvi Manoj diiktiraf atas usaha khidmat masyarakatnya mengajar literasi digital untuk melindungi warga emas daripada jenayah siber.

Memetik laporan Time, remaja berusia 17 tahun dari Frisco, Texas, Amerika Syarikat (AS) itu sudah mula menjadi sukarelawan sejak darjah enam.

“Saya rasa perkara ini sangat penting, kalau kita sendiri bernasib baik, kita juga mahu memastikan orang lain rasa disayangi dan bernasib baik.

"Ia membuat saya rasa sangat gembira, kerana tahu saya boleh membawa perubahan,” katanya.

BACA LAGI: Guna duit gaji masak-masak di bengkel, suami isteri rai pelanggan macam VIP, hidang makanan percuma sambil servis kereta

BACA LAGI: Tinggal kerjaya pramugari demi fokus jaga anak, kini buka tadika misi lahirkan generasi cerdas, berkarakter

Kisahnya bermula apabila sekumpulan penjenayah siber tanpa nama cuba menipu datuknya pada Februari 2024.

Tejasvi yang berusia 16 tahun ketika itu, dalam perjalanan pulang dari perkhemahan Scouting America bersama bapanya.

Beliau mendapati datuknya yang berusia 85 tahun membuat lima panggilan tidak terjawab sebelum menceritakan bahawa beliau menerima e-mel seolah-olah mendesak daripada seorang saudara (pak cik Tejasvi), meminta $2,000 (lebih RM8,400) untuk melangsaikan hutang.

Remaja berusia 17 tahun itu sudah mula menjadi sukarelawan sejak darjah enam. — Agensi

Ujarnya, wang tersebut nyaris-nyaris dipindahkan, tetapi mujurlah bapa Tejasvi menasihatinya supaya tidak berbuat demikian dan pak ciknya sendiri menafikan pernah membuat permintaan tersebut.

Kejadian itu hampir memerangkap datuknya dan ia membuka mata Tejasvi betapa mudahnya warga emas menjadi mangsa penipuan digital.

Malam berkenaan, beliau terus membuat penyelidikan dan mendapati kes seumpama itu sangat kerap berlaku.

Menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), pada 2024 sahaja, Pusat Aduan Jenayah Internet menerima hampir 860,000 laporan penipuan dengan kerugian melebihi $16 bilion (lebih RM68 bilion).

Warga emas berusia lebih 60 tahun mengalami kerugian hampir $5 bilion (lebih RM21 bilion), peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Malah, Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) AS melaporkan jumlah warga emas yang kehilangan lebih $10,000 (lebih RM42,000) akibat penipuan meningkat empat kali ganda sejak 2020.

“Saya masih ingat, seminar pertama yang dianjurkan, rasa sangat gementar. Takut kalau tiada siapa datang atau saya tersilap cakap.

“Namun ramai yang hadir dan begitu berminat, siap mencatat nota. Malah ada yang datang bertanya selepas seminar dan saya dapat membantu mereka,” katanya.

Tejasvi ketika menjalani aktiviti taekwondo pada 2014. — Agensi

Projek 'Shield Seniors'

Inisiatif utama Tejasvi dikenali sebagai Shield Seniors. Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti lain daripada menyertai Scouting America (yang mana beliau memperoleh pangkat Eagle Scout), bermain biola dalam orkestra sekolah, mengajar pelarian Bhutan subjek Matematik dan bahasa Inggeris secara dalam talian, hingga menyertai kerja sukarela dengan North Texas Food Bank dan TangoTab, beliau masih memberi tumpuan kepada melindungi warga emas.

Latar belakang keluarga dalam bidang teknologi (kedua-dua ibu bapanya bekerja dalam teknologi maklumat) serta minat sejak kecil dalam pengaturcaraan memberi kelebihan kepadanya.

Tejasvi mula belajar kod pada darjah lapan, menghadiri kelas keselamatan siber, program musim panas Girls Who Code dan menyertai program Cyber-Patriot yang dianjurkan Tentera Udara serta Angkatan Angkasa AS.

“Saya suka menyelesaikan masalah menggunakan komputer dan suka mencipta sesuatu,” ujarnya.

Untuk membangunkan Shield Seniors, beliau dibimbing oleh ibu bapanya dan jiran, Aarathi Rajamanickam, seorang pengurus kejuruteraan perisian dalam sektor perbankan.

Pada Februari lalu, setelah versi awal laman sesawangnya siap, kisah Tejasvi dipaparkan dalam Dallas Observer sehingga menarik perhatian organisasi American Association of Retired Persons (AARP).

Mereka menjemputnya membentangkan laman tersebut dan memberi maklum balas positif serta mempromosikannya melalui LinkedIn.

Tejasvi (kiri) membentangkan laman tersebut dan memberi maklum balas positif serta mempromosikannya melalui LinkedIn. — Agensi

Masa depan

Laman itu direka dengan tulisan besar dan tema biru lembut agar mesra dan menenangkan.

Tejasvi juga mengujinya bersama datuk, nenek dan komuniti setempat sebelum melancarkannya.

Buat masa ini, laman tersebut masih dalam previu kerana bergantung pada enjin kecerdasan buatan (AI) percuma, tetapi Tejasvi sedang berusaha mengumpul dana untuk meluaskan capaian.

Sebagai pelajar tahun akhir sekolah menengah, Tejasvi merancang melanjutkan pelajaran dalam bidang sains komputer, dengan minor dalam AI atau keselamatan siber.

Beliau bercadang memohon ke Universiti Texas di Austin dan universiti lain termasuk Georgia Tech dan Purdue.

Walaupun masih muda, beliau bertekad memperluas Shield Seniors, berhubung lebih dekat dengan komuniti warga emas di pusat jagaan dan terus menyebarkan kesedaran tentang keselamatan siber.

“Pastikan anda selalu mengambil tahu keadaan orang tersayang. Pastikan mereka selamat dalam talian,” tuturnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram