Ada sebab bayi hisap jari, ini 5 tanda ibu bapa perlu beri perhatian pada si comel


  • Bonda
  • Isnin, 08 Sep 2025

Tabiat bayi menghisap jari sering kali disalah erti sebagai kelakuan kotor dan tidak sihat. — Gambar hiasan/Freepik

SUDAH menjadi kebiasaan dan tabiat si bayi kerap menghisap jari ataupun tangan sebagai salah satu proses perkembangan awal mereka.

Namun, segelintir ibu bapa hari ini berpendapat ia satu kelakuan kotor dan mengundang bahaya bakteria yang boleh menjejaskan kesihatan serta isu keracunan makanan terutamanya di peringkat bayi.

Menjadi topik hangat di laman Threads baru-baru ini, seorang wanita yang juga bergelar ibu menyusu tampil membangkitkan isu tersebut yang menurutnya satu perkara normal.

BACA LAGI: Awas risiko kematian ketika bersalin, 5 komplikasi kesihatan sering diabai ibu hamil

BACA LAGI: 'Kalau aku mati, siapa jaga anak isteri', sakit apendiks buat Zukiee kembali imbau pengorbanan arwah ibu

"Kepada ibu-ibu, kenapa korang nak halang bayi hisap jari dan tangan mereka?

"Tahu tak itu normal dan kelakuan yang sihat, natural refleks semula jadi, mereka mula nak kenal badan dan dunia, janganlah halang ya, biar anak-anak kita membesar mengikut fitrahnya," jelasnya.

Pun begitu, ada pihak berpendapat hal itu boleh menyebabkan si kecil menjadi tabiat hingga ke dewasa yang disifatkan kurang relevan dengan tahap kebersihan persekitaran ketika ini.

Menurut kajian antarabangsa, tingkah laku itu adalah sebahagian daripada tumbesaran semula jadi dan proses perkembangan awal yang berlaku pada setiap bayi.

Tidak dinafikan, isu kesihatan dan kebersihan juga perlu diberikan perhatian namun, ibu bapa seharusnya lebih cakna akan faktor dan punca sebenar si bayi gemar berkelakuan sedemikian.

Berikut beberapa penjelasan dan faktor mengapa bayi gemar menghisap atau mengunyah tangan mereka:

1. Alat permainan

Apabila bayi mula menyedari tangan adalah sebahagian daripada tubuh mereka, jari dan tapak tangan akan menjadi 'alat permainan' utama.

Tindakan memasukkan ke dalam mulut adalah sebahagian daripada penerokaan diri dan menandakan perkembangan motor halus mereka di tahap yang baik.

2. Tumbuh gigi

Kebanyakan bayi mula tumbuh gigi antara usia empat hingga tujuh bulan.

Jika bayi sering menghisap ataupun mengunyah tangan dengan kuat, ia mungkin menjadi petanda awal pertumbuhan gigi sedang berlaku dan simptom lain termasuk air liur berlebihan, gusi bengkak juga boleh dilihat.

3. Isyarat lapar

Menghisap jari juga boleh menjadi tanda awal bayi lapar, terutama bagi bayi baru lahir.

Dalam konteks ini, tangisan sebenarnya merupakan petunjuk terakhir si bayi sedang lapar dengan kelakuan paling utama adalah menjilat ataupun mengunyah jari mereka.

Makan, ibu bapa seharusnya perlu lebih peka jika bayi sudah mula mengunyah tangan, membuka mulut atau memusingkan kepala untuk mencari susu kerana ia adalah petanda awal mereka sedang kelaparan.

Bayi menangis merupakan antara petanda si bayi kelaparan. — Gambar hiasan/Freepik

4. Mencari keselesaan

Ada bayi menjadikan menghisap jari sebagai salah satu cara menenangkan diri apabila berasa bosan, penat, sunyi atau tidak selesa.

Jika berterusan, ibu bapa boleh mempertimbangkan penggunaan puting selepas penyusuan berjalan lancar bagi memberikan keselasaan dan ketenagan kepada bayi.

5. Mahu berseronok

Kadangkala, bayi mengunyah tangan semata-mata kerana ia satu kepuasan dan keseronokan yang merangsang deria mereka.

Sekiranya ia kerap berlaku, ibu bapa amat disarankan untuk memperkenalkan mainan atau buku aktiviti sesuai di peringkat usia mereka bagi mengalihkan perhatian si bayi.

Secara umumnya, tabiat bayi menghisap jari adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan perkembangan deria mereka.

Ia tidak wajar dianggap kotor atau berbahaya selagi tidak mengganggu kesihatan namun, pemantauan ibu bapa tetap penting agar sebarang perubahan luar biasa dapat dikenal pasti awal dan dirujuk kepada pakar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram