[VIDEO] Gigih diet, wanita buat kejutan gayakan busana kahwin ibu pada hari persandingan


  • Cinta
  • Ahad, 07 Sep 2025

Seorang wanita menggayakan busana pengantin milik ibunya pada hari perkahwinannya.

SETIAP pasangan pengantin pastinya mengimpikan hari bahagia mereka berlangsung dengan penuh bermakna.

Selain dekorasi indah, makanan enak dan majlis meriah, pemilihan busana pengantin juga sering menjadi perhatian kerana ia melambangkan momen istimewa yang akan dikenang sepanjang hayat.

Begitu juga kisah seorang wanita ini yang tampil unik pada hari persandingannya dengan menggayakan busana perkahwinan milik ibunya sendiri.

BACA LAGI: Ilmu dipelajari di universiti mungkin berbeza, tapi setiap kemahiran, latihan berharga ketika bekerja — Hannah Yeoh

BACA LAGI: 'Sayang kawan kena berpada, keep your circle small', Shila Amzah mahu hidup tenang pada usia 30-an

Menurut perkongsiannya di laman Threads, pada awalnya beliau hanya merancang untuk memakai busana sewa daripada butik pengantin namun, pemberian istimewa ibunya enam tahun lalu kembali bermain dalam fikiran yang kemudiannya terus mengubah keputusan itu.

"Paling tak menyesal surprise ibu pakai baju kahwin dia untuk my sanding, asalnya rancang pakai baju sewa kat bridal je, lepas tu teringat enam tahun lepas masa nak tunang ibu bagi baju dia ni, dia kata kalau okay pakai lah.

"Masa tu kemaruk semua nak beli sendiri, mana mahunya ni gigih ya diet nak bagi muat baju ibu, nasib muat," katanya.

Lebih manis, majlis tersebut diadakan serentak dengan persandingan abangnya selepas keluarganya mengambil peluang meraikan kedua-duanya dalam satu acara.

Difahamkan, wanita itu sebelum ini melangsungkan pernikahan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan tidak berpeluang mengadakan majlis persandingan.

"Saya memang jenis sentimental, video bersolek tu pun latar belakang bilik kecil saya sejak zaman kanak-kanak sampai jadi anak dara.

"Setiap kali tengok semula, memang sebak, lepas kahwin pula terus ikut suami, jadi rasa sangat berharga dapat bersiap di bilik sendiri, bukan di hotel," jelasnya.

Kisahnya membuktikan bahawa nilai sebuah perkahwinan bukan sekadar terletak pada kemewahan atau trend terkini, tetapi pada ikatan kasih sayang, kenangan dan penghargaan terhadap insan tersayang.

Menggayakan busana lama milik ibu bukan sahaja menjadikan majlis persandingannya istimewa, malah turut menjadi tanda ingatan warisan dan kenangan keluarga sebagai sesuatu yang tidak ternilai harganya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram