'Brisk walk' lebih selamat buat ibu hamil berbanding maraton — Dr. Faizatunnor


  • Bonda
  • Selasa, 09 Sep 2025

Aktiviti larian maraton di kalangan ibu hamil semakin menjadi trend kebelakangan ini. — Gambar hiasan/Janaan AI

DALAM era moden masa kini, kesedaran terhadap gaya hidup sihat semakin meningkat dan wanita hamil merupakan antara golongan yang turut cakna tentang hal itu. 

Tidak terkecuali individu memilih untuk terus aktif dengan menyertai pelbagai acara kecergasan, malah ada yang berani mencabar diri dengan aktiviti berimpak tinggi seperti maraton. 

Menjadi trend dalam kalangan ibu hamil, hal tersebut bagaimanapun mencetuskan perdebatan sama ada ia benar-benar selamat untuk ibu mengandung, atau adakah terdapat bentuk senaman lain lebih sesuai demi menjaga kesihatan ibu dan bayi.

BACA LAGI: Penyayang dan akrab bagai keluarga sendiri, 'babysitter' asal Kota Bharu jadi pilihan ibu bapa mat saleh Eropah

BACA LAGI: 'Sayang kawan kena berpada, keep your circle small', Shila Amzah mahu hidup tenang pada usia 30-an

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Wanita dan Kanak-Kanak, Dr. Faizatunnor menjelaskan aktiviti sedemikian boleh disertai golongan hamil, namun sebaiknya elakkan daripada berlari berterusan dalam tempoh masa panjang.

Mensarankan aktiviti berjalan brisk walk berbanding maraton panjang, Dr. Faizatunnor menjelaskan ia lebih selamat dan sihat untuk dilakukan di samping mengekalkan kecergasan ibu dan anak dalam kandungan.

Aktiviti brisk walk disarankan dan berupaya meningkatkan kecergasan ibu hamil. — Gambar hiasan/Freepik

"Kalau nak sertai acara larian tak ada masalah, tapi sebaiknya jangan terlampau lama dan tidak berhenti, sebab itu boleh ada sesetengah isu kandungan gugur sebab berlari.

"Lebih elok brisk walk sebab tak beri tekanan terlampau kuat pada jantung dan nafas, yang penting ada pergerakan dan lebih santai serta selamat dilakukan.

"Tetapi perlu ingat usia kandungan perlulah sekurang-kurangnya 12 minggu ke atas kerana bayi masih lagi fragile pada permulaan kehamilan, selepas daripada itu brisk walk tak ada masalah," katanya kepada Majoriti.

Beliau dalam masa sama turut menegaskan punca kes keguguran kebanyakannya bermula peringkat awal atas faktor kecacatan ataupun komplikasi pada kesihatan ibu.

Namun, penyertaan individu hamil dalam larian maraton boleh menjurus isu terbabit sekiranya tiada kawalan dan pantauan kesihatan dilakukan oleh pakar.

Sementara itu, Dr. James Greenberg, pakar obstetrik dan sakit puan serta Naib Pengerusi Jabatan Obstetrik Ginekologi di Brigham and Women’s Hospital, Boston, England, juga menjelaskan bahawa senaman semasa hamil amat digalakkan, tetapi perlu dilakukan dengan hati-hati.

Berjalan pantas disifatkan senaman terbaik dan paling selamat bagi membantu kesihatan ibu dan perkembangan bayi dalam keadaan normal.

"Bagi kebanyakan wanita hamil, berjalan pantas adalah senaman berimpak rendah yang memberi banyak manfaat, ia selamat, mudah dilakukan dan mampu meningkatkan kesihatan ibu serta tumbesaran bayi," katanya menerusi laporan agensi.

Senaman selamat

Menurut garis panduan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat (AS), wanita hamil digalakkan melakukan sekurang-kurangnya 30 minit senaman sederhana setiap hari, lima kali seminggu. 

Antara aktiviti yang sesuai termasuklah berjalan pantas, berenang, yoga atau berbasikal menggunakan basikal statik.

Bagi mereka yang sudah terbiasa dengan aktiviti larian sebelum mengandung, rutin tersebut boleh diteruskan dengan syarat mendapat kebenaran doktor dan peringkat kehamilan dikategorikan sebagai berisiko rendah.

Berikut merupakan beberapa manfaat utama brisk walk sepanjang tempoh kehamilan:

1. Mengurangkan risiko komplikasi – Aktiviti sederhana dapat menurunkan risiko diabetes gestasi dan preeklampsia.

2. Meningkatkan mood – Endorfin yang dikeluarkan semasa bersenam membantu mengurangkan tekanan dan keresahan ibu hamil.

3. Mengurangkan sakit belakang serta sembelit – Pergerakan badan membantu melegakan ketidakselesaan di bahagian pinggang dan pelvis, selain melancarkan sistem penghadaman.

4. Meningkatkan kecergasan – Senaman menguatkan jantung, saluran darah serta meningkatkan stamina.

5. Kualiti tidur lebih baik – Aktiviti fizikal membantu ibu tidur lebih lena dan bangun dengan tubuh fizikal yang segar.

6. Kawal pertambahan berat badan – Membantu mengekalkan berat badan yang sihat sepanjang kehamilan.

7. Pemulihan lebih cepat selepas bersalin – Tubuh yang cergas memudahkan proses bersalin serta mempercepatkan tempoh pemulihan.

Kesedaran untuk terus aktif ketika hamil wajar dipuji, namun setiap individu perlulah mengetahui had dan kemampuan diri masing-masing. 

Brisk walk terbukti lebih selamat dan memberi banyak manfaat berbanding senaman aktif berpanjangan seperti maraton yang bukan sahaja membantu ibu kekal bertenaga, malah menjamin kesihatan bayi yang bakal dilahirkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram