
KEK dan manisan sering menjadi sebahagian daripada memori zaman kanak-kanak, khususnya ketika musim perayaan.
Setiap suapan bukan sahaja menghadirkan rasa, tetapi juga membawa kenangan bersama keluarga yang akan dikenang selamanya sebagai nostalgia zaman kecil.
Bagi segelintir individu, air tangan ibu sentiasa menjadi kegemaran walaupun sekadar kek ringkas dan tidak semewah jenama popular, namun memori kecil itu kadangkala menjadi titik mula kepada perjalanan hidup yang lebih besar.
BACA LAGI: [VIDEO] Gigih diet, wanita buat kejutan gayakan busana kahwin ibu pada hari persandingan
BACA LAGI: 'Sayang kawan kena berpada, keep your circle small', Shila Amzah mahu hidup tenang pada usia 30-an
Itulah dilalui seorang wanita yang mengimbau kenangan silam ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-44 baru-baru ini.
Biarpun menjalankan bisnes tempahan kek dan masakan, pemilik akaun Facebook Puan Ida memilih menghasilkan manisan yang pernah menjadi ingauan zaman kecilnya dahulu.
Kenangan itu bermula apabila ibunya membeli tepung kek menjelang Aidilfitri dan beliau begitu teruja membayangkan kek bakal dihasilkan sama seperti gambar tertera pada bungkusan tersebut yang dihiasi krim dan buah ceri berwarna-warni.
Namun, lain pula yang berlaku apabila ibu beliau membakar kek lain berbeza seperti dibayangkan.
"Tiba-tiba teringat memori masa kanak-kanak, beberapa hari nak raya mak beli tepung kek dalam kotak macam dalam gambar tu.
"Kita punyalah teruja ingat mak nak buat kek macam gambar kat kotak kek tu rupa-rupanya mak buat kek oren yang guna minyak masak tiada hias bagai.
"Kita pun pandang je gambar kek kat kotak dalam hati bila lah nak merasa kek berhias krim macam tu tapi tak sangka sekarang jadi baker dah 20 tahun tak terkira berapa biji kek saya hasilkan," katanya di laman Facebook.
Sempena ulang tahun kelahirannya, Ida berkongsi rasa syukur kerana berpeluang memenuhi impian zaman kecilnya dengan menyediakan sendiri kek berhias yang dahulu hanya mampu dibayangkan.
"Hari ni saya cari semula gambar kotak kek lama tu gigih google sebab packaging tepung syarikat ni dah lain.
"Jumpa akhirnya, siap je kek ni rasa macam nak gi time travel nak jumpa saya masa kanak-kanak nak bagi kek ni bisik kat diri sendiri yang versi tu jangan sedih tau kek ni awak sendiri yang buat, happy birthday to me," ujarnya.
Perkongsiannya bukan sekadar nostalgia tentang kek ringkas zaman dahulu, tetapi juga peringatan bahawa setiap pengalaman kecil mampu membentuk masa depan individu.
Daripada sepotong kek oren tanpa hiasan, lahirlah seorang pengusaha bakeri berpengalaman yang kini bukan sahaja memenuhi impian kanak-kanaknya, malah menghadiahkan kegembiraan kepada ramai melalui air tangannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram