'Gaji RM7,000 pun tak sampai oversea', isteri syukur rezeki bertambah lepas jadi suri rumah, suami tunai impian ke Istanbul


  • Cinta
  • Isnin, 08 Sep 2025

Seorang isteri bersyukur rezekinya bertambah usai bergelar suri rumah sepenuh masa.

KEBANYAKAN masyarakat beranggapan rezeki hanya datang dalam bentuk gaji besar dan kerjaya stabil.

Namun, bagi segelintir individu kebahagiaan dan keberkatan hidup hadir dalam pelbagai bentuk berbeza dan momen bersama keluarga antara yang paling bernilai.

Situasi tersebut boleh digambarkan menerusi perkongsian seorang wanita yang juga ibu kepada dua cahaya mata ini yang nyata cukup bersyukur atas segala kurniaan rezeki di samping suami tercinta.

BACA LAGI: Buat kek idaman sama seperti gambar pada kotak tepung sempena hari lahir ke-44, 'air tangan' ibu jadi inspirasi

BACA LAGI: 'Sayang kawan kena berpada, keep your circle small', Shila Amzah mahu hidup tenang pada usia 30-an

Pernah menjawat jawatan tinggi dan menerima gaji ribuan ringgit, pemilik akaun Threads @s_imana menjelaskan dirinya tidak pernah merasai nikmat kehidupan sewaktu bekerja, sebaliknya lebih bahagia usai bergelar suri rumah sepenuh masa.

Meskipun melepaskan kerjaya dengan pendapatan RM7,000 sebulan, dia menganggap rezeki ALLAH lebih luas apabila suaminya dapat menunaikan impiannya menjejakkan kaki ke Istanbul, Turkiye.

 

 

"Dulu gaji RM7,000 pun tak pernah pergi oversea tapi bila jadi suri rumah, ALLAH kurniakan rezeki suami dapat tunaikan impian saya nak ke Hagia Sophia, Istanbul.

"Dari zaman sekolah memang saya simpan hasrat itu, siap jadikan gambar Hagia Sophia sebagai wallpaper laptop bertahun-tahun," katanya.

Lebih manis, anak sulung mereka turut dinamakan Muhammad Al-Fatih, bersempena tokoh Islam tersohor Sultan Muhammad Al-Fatih.

Selain itu, @s_imana turut meluahkan kegembiraannya apabila dapat merasai pengalaman kali pertama menyentuh salji, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan akan tercapai selepas berhenti kerja.

"Impian saya akhirnya jadi kenyataan, lama saya berangan nak merasa salji, tak sangka lepas jadi suri rumah baru tercapai angan-angan ini.

"ALLAH Maha Baik, waktu itu pula saya sedang hamil enam bulan," ujarnya.

Kisah perkongsian ini tular kerana ramai netizen menyifatkannya sebagai bukti bahawa rezeki bukan semata-mata datang dalam bentuk pendapatan tetap, tetapi juga dalam peluang, pengalaman dan nikmat yang tidak disangka-sangka.

Hakikatnya, rezeki tidak semestinya hadir dalam bentuk angka gaji yang besar, sebaliknya boleh datang dalam bentuk pengalaman, peluang dan keberkatan hidup bersama keluarga.

Paling utama ialah rasa syukur serta keyakinan bahawa setiap pengorbanan khususnya si isteri, pasti digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram