'Sayang kawan kena berpada, keep your circle small', Shila Amzah mahu hidup tenang pada usia 30-an


  • Cinta
  • Ahad, 07 Sep 2025

Shila Amzah merupakan seorang ibu kepada dua cahaya mata.

MENJAGA kestabilan emosi dan memilih rakan yang tepat merupakan antara perkara penting apabila seseorang melangkah ke fasa usia 30-an.

Situasi itu semakin jelas apabila ramai individu mula berdepan dengan cabaran persahabatan yang tidak sihat, termasuk menjadi tempat rujukan kepada rakan yang berulang kali menghadapi masalah dalam hubungan.

Bagi sesetengah individu, mereka kerap terheret dalam drama rakan yang bergelumang dengan isu pasangan curang, pergaduhan, masalah kewangan serta putus dan kembali berbaik.

BACA LAGI: Awas risiko kematian ketika bersalin, 5 komplikasi kesihatan sering diabai ibu hamil

BACA LAGI: 'Suami pernah tercampak keluar kerana beriba', ibu terapkan 3 anak duduk 'car seat' sejak bayi demi keselamatan

Lebih membebankan, nasihat yang diberi kadangkala disalah tafsir sehingga menyebabkan pemberi nasihat pula dianggap sebagai punca keretakan rumah tangga atau percintaan.

Berkongsi pandangan mengenai situasi di fasa usia tersebut, penyanyi terkenal Shila Amzah, 35, memilih untuk hidup dalam suasana lebih harmoni dan lebih mementingkan diri sendiri.

"In your 30s you akan jumpa kawan yang selalu ada relationship problem, curang la, pukul la, hutang la, nangis minta nasihat.

"Lepas tu bila dah nasihat, diorg dah berbaik, kita boleh jadi salah nanti, kadang-kadang sayang kawan pun kena berpada.

"Hujung-hujung you tau tak A suruh I break up dengan you, ada jenis kawan yang memang tak berbaloi langsung untuk kita stay, baiklah kita jaga diri kita je," katanya di laman Threads.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air.

Lahir pada 13 Ogos 1990, pelantun lagu Patah Seribu itu dibesarkan dalam keluarga berdarah seni yang mana bapanya, ND Lala merupakan penyanyi popular era 1980-an, manakala ibu, Fauziah Sarman pernah bergiat aktif dalam dunia lakonan satu ketika dahulu.

Kerjaya Shila mula menyerlah selepas menjuarai pertandingan Asian Wave di Shanghai pada 2012, sekali gus membuka laluan untuknya menembusi pasaran muzik China.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga pernah menempatkan diri tempat ketiga program realiti popular I Am a Singer di negara berkenaan dan album Mandarin pertamanya, My Journey pada 2016 menjadikannya artis Malaysia pertama menghasilkan album penuh dalam bahasa tersebut.

Sepanjang kerjaya, Shila meraih pelbagai pengiktirafan, termasuk Anugerah Kembara di Anugerah Industri Muzik (AIM) dan disenaraikan dalam Forbes 30 Under 30 Asia pada 2018 dalam kategori Hiburan dan Sukan.

Perkongsian Shila sekali gus menekankan kepentingan mengecilkan lingkaran sosial dan menetapkan sempadan dalam hubungan sesama manusia.

Pada usia 30-an, mengekalkan persahabatan yang positif dan bebas daripada konflik disifatkan lebih berharga demi menjaga keseimbangan hidup serta kesihatan mental. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram