[VIDEO] Gelagat si kecil cekap jaga 'cashier', promosi produk raih pujian, usahawan Eira Aziera latih anak berniaga


  • Bonda
  • Selasa, 09 Sep 2025

Tangkap layar memaparkan gelagat Qalesya ketika menjadi juruwang di reruai perniagaan milik ibunya.

PEMPENGARUH dan usahawan, Eira Aziera mencuri perhatian ramai selepas memuat naik video anak perempuannya mengendalikan bahagian juruwang di salah satu reruai perniagaannya.

Gelagat si kecil dikenali sebagai Qalesya, petah melayan pelanggan bukan sahaja mencuit hati, malah mengundang rasa kagum warga maya apabila mampu menerangkan tentang produk yang dijual, di samping cekap menggunakan mesin juruwang dan mengira baki bayaran.

Menurut Eira atau nama sebenarnya Noomzira Pissal, anaknya itu tidak ditugaskan sepenuh masa di kaunter, sebaliknya hanya seketika sahaja bagi memberi peluang mengasah bakat dan kemahiran.

BACA LAGI: Anak susah dengar kata? Usah gusar, cuba 3 cara mudah didik mereka jadi pendengar yang baik

BACA LAGI: Didik anak dengan nilai empati, hentikan buli dari rumah

“Anak saya hari-hari belajar, sampai di dalam kereta pun buat kerja sekolah. Yang bahagian juruwang itu sebenarnya kita dah ada pekerja tetap, tapi sekali-sekala saya biar dia cuba untuk dapatkan pengalaman.

"Saya nak ajar daripada bawah, bukan terus duduk di atas. Itu cara saya latih dia supaya berani, ada keyakinan diri dan belajar cara berurusan dengan orang,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook.

Tambahnya lagi, meskipun aktif membantu bisnes keluarga, anaknya tetap mengutamakan pelajaran.

Malah, kanak-kanak itu diketahui gemar belajar Matematik dan turut meminati muzik, khususnya bermain piano.

“Saya bukan nak pergunakan anak untuk cari duit. Apa yang dia buat sekarang hanyalah asas untuk bina pengalaman.

"Nanti kalau dia jadi doktor atau pensyarah sekali pun, dia dah ada kemahiran komunikasi (PR) yang baik,” jelasnya.

Eira yang juga memiliki lebih 30 pekerja untuk menguruskan perniagaannya menegaskan, segala yang dilakukan hanyalah sebahagian proses pendidikan tidak formal buat anaknya.

“Pengalaman macam ini tak boleh dibeli. Saya pun dulu sejak kecil suka tolong arwah mak berniaga, sebab itu saya jadi macam sekarang,” ujarnya.

Video berkenaan nyata mendapat respon positif, dengan rata-rata netizen memuji usaha Eira mendidik anak melalui pengalaman sebenar dalam dunia perniagaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram