Didik anak dengan nilai empati, hentikan buli dari rumah


  • Bonda
  • Khamis, 04 Sep 2025

Didikan penuh empati di rumah mampu melahirkan anak yang jauh daripada budaya buli.

PERBUATAN buli bukan sekadar masalah sekolah, tetapi cerminan bagaimana anak dibesarkan di rumah.

Dalam era digital hari ini, perbuatan mengejek, mengasingkan, malah menyerang orang lain semakin mudah dilakukan.

Perkara itu berlaku sama ada di dalam kelas mahupun di media sosial.

BACA LAGI: Cintakan sejarah tiup semangat usahawan buka kedai antik, gramofon 1920-an antara khazanah berharga

BACA LAGI: Kisah gadis 16 tahun Algeria mempengaruhi seni Picasso dan Matisse

Kesan buli bukannya kecil kerana ia boleh mencederakan emosi, menjatuhkan keyakinan diri dan mampu memberikan kes trauma jangka panjang.

Namun, menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Women’s Aid Organisation (WAO), benteng paling berkesan untuk mengelakkan anak daripada menjadi pembuli atau mangsa buli sebenarnya bermula dari rumah.

Didikan awal daripada ibu bapa mampu membentuk generasi yang lebih empati, saling menghormati dan berakhlak mulia.

Pencegahan buli bermula daripada didikan asas di rumah.

Berikut beberapa cara yang boleh diamalkan ibu bapa untuk membentuk anak lebih berperikemanusiaan, sekali gus menghentikan budaya buli daripada terus berakar.

1. Jadikan rumah ruang selamat

Anak-anak perlu merasakan rumah sebagai tempat paling selamat untuk meluahkan perasaan.

Apabila mereka pulang dari sekolah dengan wajah muram, ibu bapa disaran bertanya dengan lembut.

"Hari ini macam mana? Ada sesuatu yang berlaku di sekolah?"

Jika seorang anak pernah diejek kawan kerana fizikalnya, lalu dia menangis di rumah, sikap mendengar tanpa menyalahkan akan membuatkan dia rasa difahami.

Anak yang terbiasa didengar akan lebih berani berkongsi masalah dan kurang menekan emosi dengan cara negatif.

Dengan cara itu anak akan membesar dengan yakin bahawa suaranya penting, sekali gus lebih menghormati perasaan orang lain.

2. Didik anak faham empati

Empati bermaksud cuba meletakkan diri dalam situasi orang lain.

Ibu bapa boleh bertanya: "Kalau awak jadi kawan awak yang kena ketawakan, apa awak rasa?"

Sebagai contoh anak kecil mungkin mengambil mainan kawan tanpa izin, namun dengan bimbingan daripada ibu bapa perkara itu boleh diterangkan bagaimana kawan mungkin rasa sedih atau marah.

Anak yang terlatih memahami perasaan orang lain akan lebih berhati-hati dalam pergaulan dan kurang cenderung untuk menyakiti.

3. Tunjukkan teladan hormat

Kanak-kanak belajar lebih banyak melalui pemerhatian.

Jika ibu bapa bergaduh lalu menjerit, anak akan menganggap itu cara normal menyelesaikan masalah.

Sebaliknya, apabila ibu bapa berbincang dengan tenang dan saling menghormati, anak akan ikut perbuatan tersebut.

Teladan yang baik di rumah menjadi contoh utama anak.

4. Tetapkan sempadan

Anak perlu tahu setiap perbuatan ada akibatnya tidak kira sama ada dunia realiti atau di media sosial, kata-kata boleh melukakan.

Jika anak meninggalkan komen mengejek di media sosial rakannya, ibu bapa perlu menerangkan kesan sebenar seperti mangsa mungkin rasa terhina, tertekan atau trauma.

5. Kekal terlibat dalam kehidupan anak

Komunikasi terbuka dengan guru dan pemantauan aktiviti atas talian anak amat penting.

Ia bukan sekadar mengawal, tetapi menunjukkan keprihatinan.

Ibu bapa boleh bertanya guru tentang tingkah laku anak di sekolah, sama ada dia disenangi rakan atau menunjukkan tanda-tanda murung.

6. Puji sikap baik anak

Setiap tindakan positif, walaupun kecil, wajar dihargai.

Puji anak apabila dia berkongsi makanan dengan adik atau menolong kawan jatuh.

Jika anak meminjamkan pensil kepada rakan yang tertinggal alat tulis, ibu bapa boleh berkata: "Bagus awak tolong kawan, itu sikap yang mulia."

Dengan pujian itu anak akan terdorong untuk mengulang kebaikan kerana tahu ia dihargai, sekali gus menanam budaya saling membantu.

Ibu bapa perlu menjadi pendengar pertama masalah anak.

Mencegah buli bukan hanya tugas sekolah, tetapi bermula dengan nilai yang diterapkan di rumah.

Apabila ibu bapa menanam empati, teladan baik dan komunikasi terbuka, mereka sebenarnya sedang membentuk generasi lebih sihat, beradab dan berperikemanusiaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram