
SEORANG bapa dalam buruan yang bersembunyi bersama tiga anaknya di kawasan hutan tebal sejak hampir empat tahun lalu ditembak mati dalam konfrontasi bersenjata dengan polis pada Isnin.
Insiden itu sekali gus menamatkan pencarian terhadap Thomas Phillips, 46, yang menghilangkan diri bersama anak-anaknya sejak Disember 2021.
Kanak-kanak berusia Jayda, sembilan, Maverick, 10, dan Ember, 12, tahun itu kini berada dalam jagaan pihak berkuasa.
BACA LAGI: Warga emas ada 14 rekod jenayah maut berbalas tembakan dengan polis di Johor Bahru
BACA LAGI: Kes Setia Alam: Polis tembak mati suspek di Pulau Ketam
Pelarian Phillips berakhir selepas polis menerima laporan pencerobohan sebuah kedai ladang di Piopio, sebuah pekan kecil berpenduduk kurang 500 orang di wilayah Waikato, New Zealand.
Polis yang mengejar sebuah motosikal ladang empat roda (quad bike) mendapati kenderaan itu terhenti di jalan berbatu sebelum berdepan tembakan jarak dekat.
Seorang anggota polis cedera parah selepas ditembak di kepala menggunakan senjata berkuasa tinggi, namun sempat berlindung di dalam kereta peronda.
Seorang lagi pegawai yang tiba beberapa saat kemudian melepaskan tembakan balas ke arah suspek dipercayai Phillips.
“Walaupun pengesahan rasmi belum dibuat, kami percaya individu itu adalah Tom Phillips,” kata Pemangku Timbalan Pesuruhjaya, Jill Rogers.
Adik suspek, Rozzi Phillips, turut mengesahkan kematiannya kepada penyiar awam, Radio New Zealand (RNZ).
Salah seorang anak ditemui bersama Phillips di lokasi kejadian manakala dua lagi berjaya diselamatkan dalam operasi besar-besaran melibatkan helikopter di kawasan perkhemahan terpencil berhampiran Marokopa.
“Mereka kini bersama polis dan berada dalam keadaan baik dan tidak cedera,” maklum Rogers sambil menambah, kanak-kanak itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.
Phillips sebelum ini beberapa kali muncul dan menghilang sejak September 2021, malah pernah didakwa menyusahkan polis.
Beliau dipercayai hidup di luar jaringan moden (off-grid) dengan menggunakan kemahiran survival untuk menjaga anak-anaknya.
Kehilangannya mendapat liputan antarabangsa dengan beberapa laporan penampakan, malah polis menawarkan ganjaran NZ$80,000 (lebih RM200,000) tahun lalu bagi maklumat membawa kepada penemuan keluarga itu.
Phillips turut dikaitkan dengan beberapa kes jenayah termasuk rompakan bersenjata sebuah bank pada Mei 2023 dan berdepan pelbagai pertuduhan lain seperti mencederakan secara serius dan memiliki senjata api secara haram.
Sementara itu, ibu kepada tiga beradik berkenaan, dikenali sebagai Cat, meluahkan rasa lega selepas penderitaan panjang berakhir.
“Mereka sangat dirindui hampir empat tahun ini dan kami menantikan kepulangan mereka dengan penuh kasih sayang.
"Namun pada masa sama, kami sedih dengan cara peristiwa ini berakhir. Harapan kami sentiasa agar anak-anak dapat dikembalikan dengan cara aman dan selamat,” katanya dalam kenyataan kepada RNZ.
Pegawai polis cedera kini dirawat di Hospital Waikato dan dilaporkan mengalami kecederaan serius yang memerlukan beberapa pembedahan, namun berada dalam keadaan stabil. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram