
POLIS menembak mati suspek kes tembak di sebuah pusat beli-belah Setia Alam, Shah Alam pada 8 Februari lalu di Pulau Ketam, dekat Klang Selatan, Selangor awal pagi Selasa.
Lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30an itu ditembak dalam satu operasi membabitkan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSK dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sekitar pukul 3 pagi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek yang juga seorang penjenayah dikehendaki maut dalam satu kejadian tembak-menembak bersama polis ketika serbuan di Pulau Ketam.
"Sewaktu serbuan tersebut, berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dan penjenayah di sebuah bilik hotel.
“Pasukan polis berjaya menembak mati seorang lelaki dan menemui dua senjata api berisi peluru bersama suspek tersebut.
“Semakan mendapati suspek yang dikehendaki ini mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes jenayah samun, selain dipercayai terbabit dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah Setia City Mall baru-baru ini," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, mayat suspek akan dibawa ke jeti di Pelabuhan Klang selepas siasatan dan pemeriksaan oleh Unit Forensik Polis selesai dijalankan.
Lokasi kedudukan suspek diperolehi berdasarkan siasatan dan risikan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sejak kejadian berlaku.
Terdahulu, suspek didapati melepaskan beberapa tembakan dengan seorang pekerja pembersihan mengalami kecederaan di bahagian punggung dan kaki.
Suspek kemudiannya menahan sebuah kereta dan memaksanya melarikan diri sebelum diturunkan di Lebuhraya Shah Alam (KESAS). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram