WALAUPUN bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU), ia bukan penghalang buat Nur Aini Mohamad Mashudi bergelar usahawan sehingga mendapat pengiktirafan sewajarnya atas usaha kerasnya itu.
Perkara itu dibuktikan wanita berusia 31 tahun itu apabila memenangi Anugerah Usahawan Harapan dalam mengusahakan perniagaan perkhidmatan mencuci dan membersih rumah menerusi Program Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) pada 27 Februari lalu.
Nur Aini yang juga penghidap bipolar, tidak menyangka mampu memenangi anugerah berkenaan kerana percaya bahawa kerjayanya itu hanya dipandang remeh oleh sebilangan masyarakat.
Ibu kepada dua anak itu disahkan menghidap masalah berkenaan pada 2018 selepas berdepan dengan situasi kemurungan akibat keguguran anak dua tahun sebelumnya.
Sebelum itu, untuk mengatasi masalah tersebut, dia mencuba pelbagai jenis perniagaan antaranya menjual minuman dan makanan sebelum memulakan perniagaan perkhidmatan mencuci dan membersihkan rumah.
Nur Aini (kanan) turut berharap kisah manisnya itu mampu dijadikan pendorong kepada golongan OKU di luar sana.
"Saya memulakan perkhidmatan itu seorang diri sebagai terapi kepada diri sendiri dan tidak menyangka rakan-rakan dan keluarga banyak memberikan sokongan dan dorongan dengan mendapatkan perkhidmatan saya.
"Kini, saya sudah mempunyai lima orang pekerja untuk membantu dalam kerja tersebut, dalam masa sehari kumpulan kami boleh membersihkan rumah sekurang-kurangnya tiga hingga empat rumah sehari," katanya kepada Majoriti.
Bertanya mengenai perasaan apabila dinobatkan sebagai Anugerah Usahawan Harapan, dia berkata bahawa dia tidak menyangka akan menang namun kemenangan tersebut boleh dijadikan sebagai pendorong untuk golongan OKU terus berusaha masa hadapan.
"Setiap orang ada kekurangan dan kelebihan tersendiri, sebenarnya kekurangan itu boleh menjadi kelebihan kepada kita juga," katanya.
Nur Aini yang berasal dari Kuala Selangor mengalami depresi teruk sebelum didiagnos menghidap penyakit bipolar mampu bangkit untuk meneruskan kehidupan dan perniagaannya bersama keluarga.
Dia juga berhasrat ingin mengembangkan perkhidmatannya ke luar Kuala Selangor dan memberi peluang kepada OKU yang mahir dalam bidang itu untuk bekerja dengannya di samping ingin orang ramai mengenali perkhidmatan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram