[VIDEO] Jual nasi lemak, kerepek demi sara 4 anak, pencipta kandungan hadiahkan ibu rumah pertama


  • Cinta
  • Sabtu, 06 Sep 2025

Ticer Aeyin bersyukur diberi peluang rezeki untuk menghadiahkan sebuah rumah buat ibunya. — Threads/fa.ieren

MEMBERI hadiah kepada ibu bapa dianggap antara rezeki paling bermakna yang diimpikan setiap anak.

Ia bukan sekadar tanda kasih sayang, malah juga satu cara untuk menghargai pengorbanan mereka.

Itulah yang berjaya direalisasikan oleh seorang pencipta kandungan, dikenali sebagai Ticer Aeyin dalam kalangan pengikutnya, selepas berkongsi kejayaan menghadiahkan sebuah rumah buat ibunya.

BACA LAGI: Bawa anak usia setahun kerjakan umrah, ibu bapa kongsi 9 tip ibadah bersama si kecil

BACA LAGI: 'Umur 11 tahun terlalu naif', ramai ibu temankan anak keluar berjalan dengan kawan

Wanita yang kini sedang berbadan dua itu memuat naik perkongsian tersebut di laman Threads miliknya, fa.ieren pada Jumaat.

Beliau yang memiliki 1.3 juta pengikut di TikTok memberitahu, ibunya sebelum ini tidak pernah memiliki rumah sendiri.

Wanita dikenali sebagai Ticer Aeyin itu kini memiliki 1.3 juta pengikut di TikTok. — Threads/fa.ieren

“Pencapaian terbesar tahun ini adalah dapat menghadiahkan ibu sebuah rumah. Alhamdulillah, syukur untuk rezeki ini. Ibu saya tidak pernah memiliki rumah sendiri.

"Beliau membesarkan kami empat beradik di rumah sewa, sambil menjual kerepek dan nasi lemak untuk menyara kehidupan. 

"Beliau kehilangan suami, dunia yang amat dicintainya, namun tetap tidak pernah mengalah,” tulisnya.

Pengorbanan dan ketabahan itu membuatkan wanita tersebut berazam untuk menghadiahkan sebuah kediaman yang akhirnya dapat direalisasikan tahun ini.

“Hari ini, akhirnya saya dapat menghadiahkan ibu tempat yang benar-benar boleh dipanggil rumah. 

"Ya, saya bangga dengan diri sendiri. Izinkan saya menikmati detik ini.

"Daripada doa seorang ibu datangnya rezeki yang tidak berkesudahan. Hari ini rumah ini milikmu, Ebu,” tambahnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram