'Sekarang yang tinggal cuma lagu Abi', anak arwah Ustaz Asri Rabbani luah rindu lepas 16 tahun pemergian bapa


  • Cinta
  • Sabtu, 06 Sep 2025

Anak perempuan Allahyarham Ustaz Asri, Atiqah meluahkan rasa rindu mendalam terhadap bapanya yang telah 16 tahun meninggal dunia.

ANAK perempuan kepada bekas penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Allahyarham Mohamad Asri Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Asri, meluahkan rasa kerinduan mendalam terhadap bapanya yang telah 16 tahun meninggal dunia.

Menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Atiqah berkongsi rasa sebak apabila terkenangkan arwah.

“Rindu sangat pada Abi hari ini, tak tahu kenapa, mungkin setelah sekian lama ALLAH hadiahkan rasa ‘lupa’, hari ini Dia izinkan untuk ingat semula.

"Atau mungkin Abi sendiri sedang rindukan kakak?” tulisnya pada Jumaat.

BACA LAGI: Menyesal tak sudah, lewat terima berita kematian bapa gara-gara tetapkan telefon dalam mod senyap

BACA LAGI: Diogo Jota: Perginya sosok aktif pejuang hak wanita, kesaksamaan jantina dalam dunia sukan

 

 

Menurut Atiqah, kenangan bersama bapanya hanya mampu diabadikan menerusi lagu-lagu dendangan Allahyarham yang masih kekal menjadi pengubat rindu.

“Andai dulu sempat rakam video Abi dan memori kita bersama, pasti kakak akan simpan dan ulang tengok setiap kali rindu.

"Namun sekarang, yang tinggal cuma lagu abi sebagai pengubat rindu. Rindu sangat, alangkah baiknya kalau Abi ada bersama,” ungkapnya.

Luahan itu menyentuh hati ramai warga maya yang turut membanjiri ruangan komen dengan doa dan memori mereka terhadap Allahyarham.

“Setiap orang yang membesar dengan lagu-lagu arwah pasti turut merinduinya.

"Tiada siapa mampu menggantikan suaranya. Satu-satunya yang tiada duanya, Al-Fatihah untuk Abi anda,” tulis n_fxnnx.

“Kalau dengar lagu-lagu lantunan suara arwah, mesti masih terasa macam arwah masih ada. Terima kasih buat arwah kerana beliau dan rakan seangkatan dalam industri dapat mengangkat nasyid ke arus perdana,” ujar benshahriezan pula.

Untuk rekod, Allahyarham Ustaz Asri meninggal dunia pada 13 Ogos 2009 akibat serangan jantung ketika berusia 40 tahun.

Beliau dilaporkan rebah ketika menghadiri raptai sidang media sebuah program di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ustaz Asri yang sinonim dengan suara penuh penghayatan merupakan penyanyi utama kumpulan Rabbani yang ditubuhkan pada 1997 dan sehingga kini masih dikenang sebagai ikon nasyid tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram