[VIDEO] Bapa tunjuk contoh baik depan anak lepas dikacau 'Karen Besbol', peminat cilik dapat hadiah istimewa


  • Maya
  • Ahad, 07 Sep 2025

Seorang bapa mempertahankan anaknya usai cuba dikasari individu wanita pada perlawanan besbol di Miami baru-baru ini.

DALAM sukan, kadangkala momen di luar padang lebih menyentuh hati berbanding aksi permainan di tengah padang.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi momen yang berlaku pada perlawanan besbol di Miami Jumaat lalu bila mana seorang bapa dilihat mempamerkan sikap terpuji saat anaknya dikasari individu tidak bertanggungjawab.

Dalam pertemuan antara pasukan Philadelphia Phillies menentang Miami Marlins itu, pemain Phillies, Harrison Bader berjaya melakukan pukulan home run yang kemudiannya menjadi rebutan ramai penonton di stadium.

BACA LAGI: 'Kalau aku mati, siapa jaga anak isteri', sakit apendiks buat Zukiee kembali imbau pengorbanan arwah ibu

BACA LAGI: 'Suami pernah tercampak keluar kerana beriba', ibu terapkan 3 anak duduk 'car seat' sejak bayi demi keselamatan

Tidak terkecuali dalam perebutan itu, si bapa pantas mengutip bola tersebut dan menghadiahkan khas buat anaknya sebagai momen yang cukup bermakna pada perlawanan berkenaan.

Namun, situasi bertukar kecoh apabila seorang individu wanita bertindak merampas bola terbabit dan mendakwa ia kepunyaannya selain menuduh lelaki itu sebagai perampas.

Satu pertengkaran kecil berlaku di tempat duduk penonton sebelum si bapa akhirnya menyerahkan bola berkenaan kepada wanita itu usai anaknya beberapa kali dikasari.

 

 

 

Situasi itu mencetuskan rasa tidak puas hati penonton lain yang kurang bersetuju dengan sikap tamak wanita terbabit dan ia menjadi perbualan hangat warga maya di laman sosial yang menggelar pelaku sebagai 'crazy karen'.

Pun begitu, seluruh stadium bertukar riuh dengan sorakan gemuruh saat si cilik itu diberikan sebuah beg cenderahati oleh salah seorang pekerja kru kejohanan besbol tersebut.

Bagaikan rezeki terpijak, kanak-kanak tersebut kemudiannya menerima durian runtuh apabila didatangi Harrison Bader yang tampil menghadiahkan kayu pemukul besbol beserta tanda tangan khas darinya.

 

 

 

 

Philadelphia Phillies menerusi hantaran di platform X turut mengesahkan perkara itu dan menyifatkan ia sebagai pemberian khas daripada atlet pasukannya.

Walaupun bermula dengan insiden yang mengecewakan, akhirnya ia bertukar menjadi pengalaman paling indah buat peminat cilik itu.

Ia juga mengingatkan orang ramai bahawa semangat sukan sebenar bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi juga tentang sikap saling menghormati dan berkongsi kegembiraan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram