Wanita berhijab pertama di pentas gusti, Nor 'Phoenix' Diana dinobatkan pencabar nombor 1 kejuaraan WWE ID


  • Maya
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Nor Phoenix Diana mencipta sejarah sebagai atlet gusti profesional wanita berhijab negara.

ATLET gusti profesional negara, Nor Phoenix Diana, sekali lagi melakar sejarah gemilang apabila muncul sebagai wanita berhijab pertama yang dinobatkan pencabar nombor satu Kejuaraan Wanita WWE Independent Development (WWE ID).

Ia bersempena kejohanan Slamfest 2025 yang berlangsung di Stadium Juara, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada malam sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.

Kemenangan itu dicapai selepas Phoenix menewaskan bintang prospek WWE ID, Zayda Steel dalam perlawanan penentuan yang mencetuskan sorakan gemuruh penonton.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari makanan ke tarian, wartawan China kongsi persamaan Hainan dan Malaysia

BACA LAGI: Proses hamil hingga berpantang bukan mudah, Syasya Rizal dedah dugaan pertama kali bergelar ibu

Keputusan rasmi diumumkan oleh Pengarah Reality of Wrestling (ROW), Kevin Bernhardt dengan juara bertahan WWE ID, Kylie Rae tampil sebagai pengadil jemputan khas.

 

 

Laluan berliku

Pada kejohanan tersebut, Zayda Steel bertindak menyerang hendap Kylie Rae sehingga menyebabkan bekas juara itu mengalami kecederaan gegaran otak dan tidak dibenarkan bertanding secara perubatan.

Bagi menyelamatkan keadaan, Pengurus Besar Gotham mengumumkan perlawanan mengejut antara Nor Diana dan Zayda Steel dengan Kylie Rae tetap diturunkan sebagai pengadil khas.

Namun, drama semakin mendebarkan apabila Kevin Bernhardt mengisytiharkan bahawa pertarungan itu juga akan menentukan pesaing nombor satu bagi Kejuaraan Wanita WWE ID.

Phoenix tidak hanya mempertahankan Kejohanan Wanita APAC miliknya, malah memastikan kedudukannya sebagai pencabar masa depan kejuaraan berprestij WWE ID, sekali gus mengukuhkan namanya di persada gusti antarabangsa.

Lambang keunggulan wanita berhijab

Nor Diana yang terlebih dahulu mencipta nama di pentas gusti terus membuktikan kemampuannya apabila bersaing di peringkat antarabangsa.

Kejayaan di pentas Slamfest 2025 bukan sahaja membuka jalan ke arah kejohanan dunia, malah memberi inspirasi kepada wanita muda yang ingin menceburi sukan ekstrem itu.

Kejuaraan WWE ID kini dianggap sebagai gelaran global paling berprestij dalam arena gusti bebas, kerana ia boleh dipertahankan di mana-mana sahaja di dunia.

Dengan status pencabar nombor satu, Nor Phoenix Diana kini berada selangkah lagi untuk mencipta satu lagi detik bersejarah iaitu membawa pulang kejuaraan dunia itu ke Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram