'Kalau aku mati, siapa jaga anak isteri', sakit apendiks buat Zukiee kembali imbau pengorbanan arwah ibu


  • Cinta
  • Rabu, 03 Sep 2025

Zukiee menerima rawatan akibat sakit apendiks di sebuah hospital baru-baru ini.

"KALAU aku mati macam mana anak anak dan isteri, siapa nak uruskan dorang".

Demikian ayat pertama terlintas di fikiran pempengaruh dan Youtuber terkenal, Zukiee Mohamad saat terlantar menerima rawatan apendiks di hospital baru-baru ini.

Jelasnya, kesakitan yang dialami amat perit sehingga membuatkan pelbagai persoalan dan kerisauan bermain di fikiran, terutama mengenai nasib isteri serta anak-anak sekiranya ditakdirkan meninggal dunia.

BACA LAGI: Anak sulung kasih pertama ibu, bawa keberkatan dalam keluarga?

BACA LAGI: FFG rai hari jadi, santuni keluarga miskin bandar di Lorong Haji Taib

Malah, dirinya kembali mengimbau momen bersama arwah ibunya yang sebelum ini juga pernah meluahkan kebimbangan sama ketika sakit satu ketika dahulu.

Bersama arwah ibunya, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari rezeki daripada berniaga sata ikan, memberi khidmat bekam dari rumah ke rumah sehinggalah menjalankan servis angkut sampah di kediaman flat mereka.

 

 

"Perkara paling aku tak boleh lupakan semasa aku dengan arwah maa aku menyewa kat flat bukit belacan, macam-macam cara aku dengan maa aku buat untuk cari duit nak bayar sewa rumah dan jalani hidup.

"Arwah maa siap hantar aku pergi kursus bekam sunnah, dari situ aku buat khidmat bekam rumah ke rumah dengan motor cabuk aku, aku dengan maa berniaga sata ikan kat bawah flat, arwah maa aku plan aku buat servis angkat sampah dari rumah rumah flat tu buang ke bawah dua hari sekali dengar bayaran 30 sebulan.

"Arwah maa aku suruh aku belajar mengurut orang lelaki, aku pun buat servis mengurut satu badan RM50 sejam, macam nak patah jari-jari aku masa tu," kongsinya di laman Instagram pada Selasa.

Dalam masa sama, bapa kepada dua cahaya mata itu difahamkan turut bekerja sambilan di Zoo Negara dengan gaji sebanyak RM800 bagi menampung keperluan diri dan ibunya.

Menyifatkan segala punca rezeki itu terhasil daripada berkat doa dan restu arwah ibunya, kehidupannya berubah 100 peratus usai namanya kian dikenali di platform YouTube.

Paling tidak boleh dilupakan adalah momen di mana Zukiee berpeluang membawa arwah mengerjakan ibadah umrah beberapa tahun sebelum ibunya meninggal dunia.

 

 

"Hebat insan yang bergelar ibu, Al-Fatihah Maa, selalu rindu dan terus rindu," ujarnya mengakhiri perkongsian.

Sekadar info, Zukiee atau nama sebenarnya Zulkifli Mohamad mula dikenali melalui perkongsian video komedi di laman sosial.

Dengan gaya spontan dan loghat pekat Pantai Timur, Zukiee berjaya menarik perhatian jutaan pengikut di platform Facebook, Instagram dan TikTok.

Selain aktif menghasilkan konten video, Zukiee juga pernah terbabit dalam beberapa program televisyen dan sering menerima undangan ke acara hiburan serta kempen komersial dan sehingga kini masih bergiat aktif di platform digital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram