
KESEDARAN mengenai kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak atau car seat semakin mendapat perhatian dalam kalangan ibu bapa generasi kini.
Tidak dinafikan, segelintir pihak masih menganggap ia sebagai satu perkara menyusahkan namun hakikatnya, amalan tersebut mampu menyelamatkan nyawa ketika berlaku kemalangan.
Bagi seorang ibu, pengalaman silam yang menimpa suaminya menjadi iktibar terbesar sehingga dia tekad mendidik tiga orang anaknya menggunakan kerusi kanak-kanak sejak awal kelahiran demi keselamatan.
BACA LAGI: Anak sulung kasih pertama ibu, bawa keberkatan dalam keluarga?
"Anak-anak kami membesar dengan duduk dalam car seat dari lahir sampai sekarang," katanya di laman Threads.
Menurutnya, suaminya sebelum ini pernah mengalami detik cemas ketika berusia sekitar dua tahun apabila tercampak keluar dari kenderaan selepas kereta dinaiki terbabas akibat tayar meletup.
"Suami dulu pernah tercampak keluar kereta masa duduk atas riba ibu mentua, kereta terbabas sebab tayar meletup.
"Kereta berpusing tiga kali dan masa tu suami yang berumur sekitar dua tahun tercampak keluar tingkap dan terduduk di tengah jalan, syukur tiada kenderaan lalu masa tu.
"Berjahit di muka, kaki dan lengan, parut jelas sampai sekarang," katanya.
Pengalaman itu menjadikan keluarganya lebih berhati-hati dan tegas dalam mendidik anak-anak untuk sentiasa menggunakan car seat setiap kali memulakan perjalanan jarak jauh.
Akur dengan segala cabaran dan kesukaran sepanjang menerapkan amalan tersebut, tangisan dan ragam anak antara perkara perlu diatasi terutamanya ketika masih di peringkat bayi.
"Ujian dan cabaran seperti tangisan itu memang ada ya, Omma berpegang pada kata tak apa, nangis tanda hidup.
"Anak kedua paling champion nangis sejam straight non-stop masa bawah setahun, dah berhenti pujuk, masuk car seat sambung nangis tahan je telinga sambil pujuk-pujuk," ujarnya.
Kini, selepas beberapa tahun mendidik anak-anak dengan kaedah tersebut, ibu kepda tiga cahaya mata tersebut bersyukur kerana anak-anaknya sudah terbiasa dan jarang menangis ketika dalam perjalanan jauh.
Malah, suasana dalam kereta sering diisi dengan nyanyian, gurauan dan interaksi sesama adik-beradik.
"Alhamdulillah sekarang nikmat juga la bila travel sebab dah jarang dengar tangisan, mereka saling hiburkan each other, main nyanyi-nyanyi, kakak pujuk adik, adik pun terhibur," tambahnya.
Pengalaman dikongsikan jelas membuktikan bahawa penggunaan kerusi kanak-kanak bukan sekadar peraturan, tetapi satu bentuk perlindungan penting si kecil seawal usai baru lahir
Walaupun berdepan cabaran seperti tangisan atau kerenah anak, disiplin dan kesedaran awal mampu membentuk kebiasaan yang akhirnya menjadi nikmat buat seisi keluarga sekali gus memberi jaminan keselamatan yang tidak ternilai harganya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram