
KETIKA ramai pencipta kandungan berlumba-lumba menampilkan gaya hidup mewah atau trend makanan manis, berbeza pula pendekatan yang cuba dibawa wanita dikenali sebagai Miyabell.
Bermula sebagai suri rumah pada Jun 2023 selepas berhenti kerja, beliau yang mesra disapa Miya sekadar ingin berkongsi kisah hidupnya termasuk rutin sebagai isteri, pengalaman kerja terdahulu dan catatan harian secara rawak.
Namun siapa sangka, langkah kecil itu akhirnya membuka ruang besar untuknya bergelar pencipta kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga berupaya menyebarkan mesej tentang gaya hidup sihat.
Beliau yang kini menetap di Ipoh, Perak mengakui titik tolak perubahan datang apabila dirinya menyedari trend makanan yang sering dipaparkan di media sosial cenderung ke arah tidak sihat.
“Saya nampak ramai sebenarnya masyarakat yang mahukan pempengaruh lebih ke arah mempromosikan makanan sihat.
"Jadi saya fikir, apa cara paling mudah untuk tarik orang? Dari situ, saya cuba makan real food (makanan yang tidak diproses) dengan menggunakan konsep mukbang (makanan dalam jumlah besar sambil berinteraksi dengan penonton) dan ASMR (Autonomous Sensory Meridian Response).
"Walaupun nampak mudah, tapi apabila orang dengar saja bunyi kunyahan sayur-sayuran yang dimakan, ramai yang mengaku terus timbul rasa nak cuba,” katanya kepada Majoriti.
Misi sihat
Justeru bermulalah misi wanita genit itu untuk mengajak orang ramai mengamalkan pemakanan sihat dengan cara santai dan menghiburkan.
Menariknya, konten ibu kepada seorang cahaya mata itu banyak berkisar pada lauk ikan dari goreng hingga berkuah.
Ikan katanya, lebih menarik kerana setiap spesies menawarkan rasa berbeza, selain ia memiliki jumlah lemak lebih rendah berbanding ayam dan daging, sekali gus menjadikannya sumber protein yang sihat.
“Bagi saya kalau ayam goreng, adakalanya terlalu bland (tidak berperisa) tetapi ikan walaupun digoreng setiap hari, tetap ada kelainannya,” ujarnya yang menggemari ikan selar.
Miya mengakui titik tolak perubahan datang apabila dirinya menyedari trend makanan yang sering dipaparkan di media sosial cenderung ke arah tidak sihat.
Tambah pengikut
Eksperimen Miya nyata membuahkan hasil. Hanya dalam sebulan, pengikutnya melonjak hampir 100,000, yakni daripada 300,000 kepada 400,000.
Rata-rata tertarik dengan caranya menyulap makanan sihat jadi kelihatan enak dan menggoda.
Apatah lagi dengan ‘signature’ videonya yang akan memakan kepala ikan goreng yang garing sebagai 'pembuka selera'.
Pengaruh Miya tidak hanya terbatas dalam kalangan kaum Melayu.
Beliau turut berkongsi bagaimana ramai penonton daripada komuniti Cina dan India turut meninggalkan komen, selain memuat naik video mereka mencuba sambal tempoyak, petai dan ulam-ulaman selepas menonton kandungannya.
"Saya ada tengok komen mereka cuba makan petai dan tempoyak dan juga buat video mengenainya," jelas beliau.
Asam garam
Seperti pencipta kandungan lain, Miya juga tidak terlepas daripada kecaman terhadap amalan sihat yang cuba dibawanya.
Namun beliau memilih untuk tidak memberi ruang pada sebarang komen negatif.
“Sedangkan pempengaruh terkenal, Khairul Aming pun ada haters, inikan pula saya.
"Jadi apa yang baik, saya baca dan ambil. Yang sekadar nak taburkan komen negatif, saya abaikan. Tak payah stres,” luahnya.
Bagi Miya, kontennya bukan sekadar hiburan. Ia sebuah inisiatif kecil untuk mengajak lebih ramai rakyat Malaysia mencuba makanan sihat dengan cara mudah.
“Kalau orang tengok saya makan sayur pun terliur, itu dah cukup buat saya puas hati.
"Sebab maknanya mereka terinspirasi untuk cuba,” bicaranya penuh semangat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram