Budak sihat tapi minta MC, doktor tegur ibu bapa jangan salah guna cuti sakit anak


  • Bonda
  • Khamis, 04 Sep 2025

Ibu bapa diingatkan bahawa surat cuti sakit adalah dokumen sah yang hanya diberikan kepada individu  benar-benar tidak sihat untuk bekerja atau bersekolah. — Gambar hiasan

SURAT cuti sakit (MC) adalah dokumen sah yang hanya diberikan kepada individu benar-benar tidak sihat untuk bekerja atau bersekolah.

Menerusi satu perkongsian di akaun Threads milik seorang pengamal perubatan, beliau menceritakan pengalamannya ketika merawat seorang pelajar sekolah menengah yang mengalami jangkitan saluran pernafasan (URTI). 

Menurutnya, pesakit tersebut hadir bersama ibu bapa dan adik lelakinya.

BACA LAGI: Anak tunggal terlebih manja? Ini cabaran, realiti hidup tanpa adik-beradik

BACA LAGI: 'Dianggap pembawa malang', wanita imbau kenangan waktu kecil, disisih kerana tiada rupa, pencapaian seperti kakak

"Selepas menjalani pemeriksaan dan konsultasi termasuk ujian darah, kakak (budak perempuan) tersebut memang tidak sesuai hadir ke sekolah dan saya beri dua hari MC.

"Masa nak keluar bilik, boleh pula ibu bapa arahkan saya, 'doktor, nanti MC dua hari untuk adik sekali ya, dia pun tak sekolah'.

"Saya tolak permintaan itu dan maklumkan MC hanya diberikan kepada mereka yang tidak layak hadir bekerja atau bersekolah kerana masalah kesihatan," katanya.

Doktor yang enggan namanya dikenali itu memberitahu, ibu bapa berkenaan tetap mendesak, malah anak kecil itu mula mengamuk di dalam bilik rawatan.

Kanak-kanak itu mula menangis ketika tidak diberikan MC oleh doktor. — Gambar hiasan

Menurutnya lagi, kanak-kanak itu mula menendang kerusi dan mainan serta menangis kerana beranggapan tidak adil dia perlu ke sekolah sedangkan kakaknya diberi cuti. 

Lebih mengejutkan, ibu bapanya tidak berusaha menenangkan anak itu, sebaliknya memarahi doktor kerana menyebabkan anak mereka ‘sedih’.

"Saya jelaskan MC ialah dokumen sah dan sebagainya, tapi ibu bapa dan anak lelaki tersebut enggan dengar.

"Budak itu terus menangis sebelum memukul kakaknya. Lepas itu boleh pula tinggalkan ulasan buruk di Google dengan menuduh saya tidak mahu mengeluarkan MC langsung," luahnya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi warga maya yang menyokong pendirian doktor berkenaan.

“Kenapa orang kita suka salah guna MC? Sebab ada enabler (pendorong) tapi doktor tetap berpendirian tegas, tahniah!” tulis @ainezanee.

“Doktor buat perkara yang betul. Sebab itu banyak syarikat sekarang akan hubungi klinik untuk semak sama ada pekerja benar-benar sakit atau tidak. 

"Ibu bapa itu pun patut diberi MC sebab otak mereka tak betul ajar anak perangai macam itu,” jelas @nicolenadiah.

Isu penyalahgunaan surat cuti sakit bukanlah perkara baharu, namun kejadian itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai sikap segelintir ibu bapa dalam mendidik anak tentang disiplin serta integriti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram