
KEHIDUPAN bahagia sepasang suami isteri yang dahulunya dipenuhi dengan rutin kerja, percutian dan aktiviti hujung minggu di kafe, berubah sekelip mata selepas si suami diserang strok pada tahun lalu.
Menerusi perkongsian di akaun TikTok milik candiceneojy pada Ahad, wanita tersebut menceritakan bagaimana suaminya yang berusia 37 tahun tiba-tiba mengadu kebas pada bahagian kiri tubuh sebelum berangkat kerja pada Julai 2024.
Ujarnya, tidak lama kemudian, keadaan bertambah serius apabila suaminya muntah berulang kali dan tidak mampu berjalan sebelum dibawa ke Jabatan Kecemasan sebuah hospital.
Wanita tersebut sentiasa menemani suaminya ketika berada di hospital.
"Hasil pemeriksaan Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mendapati beliau mengalami strok berpunca daripada cavernoma pada batang otak yang telah berdarah.
"Sejak itu, beliau kehilangan upaya untuk berjalan dan menelan, lalu terpaksa bergantung pada tiub makanan," tulisnya.
Beberapa minggu selepas kejadian, berlaku pendarahan kali kedua yang melemahkan lagi bahagian kiri tubuh dan pertuturannya.
Menurut wanita tersebut, doktor mencadangkan pembedahan bagi membuang cavernoma berkenaan, namun sebelum tarikh pembedahan ditetapkan, keadaan suaminya bertambah buruk sebelum koma secara tiba-tiba dan terpaksa dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Dunia saya seakan runtuh. Doktor beritahu ada risiko 30 peratus suami tidak akan sedar selepas pembedahan. Ia detik paling menakutkan dalam hidup saya,” katanya.
Selepas lebih 10 jam pembedahan, suaminya berjaya diselamatkan, namun perjalanan pemulihannya tidak mudah.
Menurut wanita itu lagi, suaminya tidak mampu bernafas sendiri, memerlukan trakeostomi, malah tidak dapat duduk tegak atau mengangkat kepala.
"Dengan rawatan fisioterapi dan terapi cara kerja secara berterusan, sedikit demi sedikit keadaannya menunjukkan perkembangan positif," jelasnya.
Kini, suami tersebut masih berulang-alik ke hospital untuk menjalani rawatan fisioterapi, terapi cara kerja serta akupunktur secara berkala.
Selepas hampir empat bulan di hospital, beliau akhirnya dibenarkan keluar pada November 2024.
"Kini beliau masih berulang-alik ke hospital untuk menjalani rawatan fisioterapi, terapi cara kerja serta akupunktur secara berkala.
“Harapan saya, satu hari nanti dia tidak lagi perlu menggunakan kerusi roda dan dapat menggerakkan tangan kirinya dengan lebih baik. Semoga kami dapat kembali melancong bersama,” luahnya.
Menurut beliau, dugaan besar itu mengajarnya untuk lebih menghargai kehidupan, menghentikan sejenak kesibukan dan menikmati perkara kecil seperti melihat bunga mekar atau matahari terbenam.
“Hidup ini penuh dengan ketidakpastian. Kesihatan adalah kekayaan, termasuk kesihatan mental,” ungkapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram