Makin banyak rumah tiada taman, Jepun anjur pertandingan kebun siapa paling cantik di atas trak pikap


  • Hias
  • Rabu, 03 Sep 2025

Peserta bebas menghasilkan rekaan menggunakan pelbagai elemen seperti kolam, perigi, pancuran air, tanaman gantung, bonsai, hamparan lumut dan struktur seperti bingkai dan pelantar. — Agensi

SEJAK 2016, bandar Osaka di Jepun menjadi tuan rumah kepada satu acara unik yang semakin mendapat perhatian ramai, iaitu Pertandingan Berkebun Kei-tora Mini Truck. 

Pertandingan tahunan itu menampilkan kreativiti luar biasa apabila ruang belakang sebuah trak kecil atau kei-tora ditransformasikan menjadi taman mini yang indah dan mempesona.

Kei-tora atau lebih dikenali sebagai Kei Truck, merupakan kenderaan kompak yang banyak digunakan di Jepun, khususnya di tapak pembinaan dan pertanian berskala kecil. 

Namun, melalui pertandingan tersebut, kenderaan praktikal itu bertukar fungsi menjadi kanvas hijau yang menonjolkan seni landskap moden.

BACA LAGI: 7 kebaikan berkebun, berbakti kepada tanah

BACA LAGI: Modal berkebun RM50, suri rumah di Tanah Merah ubah hobi jadi bisnes, jana pendapatan cecah RM8,000 sebulan

 

Kenderaan praktikal itu bertukar fungsi menjadi kanvas hijau yang menonjolkan seni landskap moden. — Agensi

Idea penganjuran pertandingan tersebut tercetus daripada Persekutuan Kontraktor Landskap Jepun selepas menyedari kebanyakan rumah di Jepun tidak lagi mempunyai taman. 

Matlamat utama bukan sahaja untuk menguji daya kreativiti peserta, malah mendekatkan kembali masyarakat bandar dengan alam semula jadi yang semakin sukar dinikmati di kawasan metropolitan.

Setiap tahun, syarikat reka bentuk landskap dan perkhidmatan taman dari seluruh Jepun akan menyertai acara berkenaan.

Dengan peraturan yang longgar, para peserta bebas menghasilkan rekaan menggunakan pelbagai elemen seperti kolam, perigi, pancuran air, tanaman gantung, bonsai, hamparan lumut dan struktur seperti bingkai dan pelantar.

Selain itu, sentuhan semula jadi seperti pokok renek berbunga, pokok berdaun ungu, tanaman memanjat, batang kayu lama, tembikar hiasan dan batu turut menjadi pilihan untuk menyerikan lagi rekaan taman mini tersebut.

Pertandingan Berkebun Kei-tora bukan sahaja menjadi medan persaingan kreatif dalam kalangan penggiat landskap, malah berjaya mengubah pandangan masyarakat terhadap nilai ruang hijau, walaupun dalam bentuk yang sekecil ruang belakang sebuah trak mini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram