
SEJAK beberapa hari kebelakangan ini, inisiatif MyKasih menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat apabila ramai berkongsi pengalaman sejak masing-masing menerima bantuan berkenaan.
MyKasih, yang merupakan inisiatif bantuan kerajaan, disalurkan bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Bantuan itu boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya dan kedai terpilih, sekali gus memastikan bantuan yang diberi benar-benar sampai kepada sasaran.
BACA LAGI: Kasihan penerima STR bulanan kena 'berebut' tebus SARA gara-gara MyKasih offline
BACA LAGI: SARA: RM192.5 juta sudah ditebus, kerajaan jamin bekalan barangan tidak terputus
Di media sosial juga, pelbagai kisah turut dikongsikan rakyat, sama ada berkaitan MyKasih sendiri, mahupun inisiatif bantuan lain daripada kerajaan.
Antaranya perkongsian seorang lelaki dengan nama akaun Threads, khairisafwan mengenai insiden yang pernah berlaku di sekolah anaknya, berkaitan pemberian bantuan tunai RM100 kepada murid.
Menurut hantaran itu, bantuan tunai tersebut sepatutnya dituntut oleh ibu bapa murid di sekolah.
Namun, seorang ibu dikatakan menangis apabila gagal membuat tuntutan kerana rekod menunjukkan bantuan itu sudah diambil lebih awal oleh bekas suaminya.
"Jadi ceritanya, ada seorang mak murid ini nak buat tuntutan tapi tak dapat sebab dalam rekod, dah claim! Rupanya bapa murid itu dah datang lagi awal dan ambil.
"Menangis mak tu sambil cerita yang dia dah berpisah, bapa itu tak jaga pun anak mereka," tulisnya pada Rabu.
Beliau menambah, kejadian itu jelas menunjukkan betapa pentingnya bantuan seperti MyKasih tidak diberikan dalam bentuk tunai, sebaliknya melalui saluran yang lebih terkawal.
"Ia adalah tentang kawalan, macam mana sumbangan ini dapat capai objektifnya,” ujar individu tersebut.
Bagaimanapun, lokasi dan tarikh kejadian belum dapat dipastikan sehingga kini.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata menunjukkan simpati dengan tidak kurang juga yang mengakui kes begitu sememangnya wujud.
Menurut khairulanwar, tindakan kerajaan memperketat sistem bantuan bagi mengelakkan ketirisan adalah berpunca daripada sikap segelintir pihak yang sebelum ini didapati menyalahgunakannya.
"Jika dari awal bantuan tidak disalahgunakan, kerajaan tidak akan mempunyai alasan untuk mengubah sistem sedia ada. Apa yang berlaku kini adalah akibat daripada perbuatan sendiri,” katanya.
Ujar pikah_ar, wang bantuan kerajaan kepada murid seharusnya disalurkan untuk membeli barangan keperluan sekolah, bukan sebaliknya.
"Saya teringat masa mak menjaga bahagian bantuan RM100 tunai masa dia masih mengajar dulu, ada beberapa cikgu terang-terang cakap nak guna duit anak untuk beli piza," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram