[VIDEO] Selepas 30 tahun, pengantin India realisasi impian 'amma' adakan majlis perkahwinan adat Melayu


  • Cinta
  • Rabu, 03 Sep 2025

Tharagai dan suaminya, Steven (gambar kiri) tampil segak dan anggun dalam persalinan songket berona kelabu.

MALAYSIA sememangnya terkenal dengan keunikan kepelbagaian kaum dan budaya.

Malah perkara itu sekali lagi menjadi perhatian apabila tular sebuah video memaparkan pasangan pengantin berbangsa India meraikan majlis resepsi mereka mengikut adat Melayu.

Menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok thamayanthi._, pasangan pengantin, Tharagai dan suaminya, Steven tampil segak dan anggun dalam persalinan songket berona kelabu, diiringi paluan kompang serta perarakan masuk penuh meriah bersama pengapit sebelum memasuki dewan resepsi.

BACA LAGI: [VIDEO] Keistimewaan kahwin pasangan lain negeri, semakin seronok belajar budaya, makanan tradisi, paling penting tak 'berkira' soal balik kampung

BACA LAGI: Ramai anak muda ingin kahwin tapi terhalang faktor kos sara hidup, kerja tak stabil — Nancy

Berkongsi kepada Majoriti, kakak kepada pengantin perempuan, Thamayanthi berkata, resepsi berkonsepkan adat Melayu itu merupakan impian ibu mereka sejak sekian lama.

“Sejak 30 tahun lalu sebelum berkahwin lagi, ibu sudah berpesan kepada ayah bahawa bila anak-anak berkahwin nanti, temanya mestilah adat Melayu.

“Tiada sebab tertentu pun, cuma impian ibu semata-mata, jadi kami tunaikan,” katanya.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu lagi, baik bapa mahupun pengantin lelaki tidak mempunyai halangan untuk menjayakan hasrat tersebut.

“Ayah tidak pernah membantah, pengantin lelaki pun tiada masalah. Impian ibu akhirnya menjadi kenyataan,” ujarnya.

"Resepsi berlangsung pada 31 Ogos lalu di Ipoh, Perak. Majlis juga dihadiri oleh tetamu daripada pelbagai kaum kerana pengantin pun ada ramai kawan berbangsa Melayu," ceritanya.

Selain resepsi adat Melayu, pasangan mempelai tersebut turut mengadakan majlis perkahwinan dalam adat India.

Perkara ini sekali lagi mencerminkan keindahan budaya Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian adat dan tradisi, serta semangat meraikan perbezaan sebagai kekuatan bersama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram