[VIDEO] 'Kami tunggu awak pulang', suami sokong perjuangan Ardell Aryana sejak bujang dalam misi kemanusiaan


  • Cinta
  • Selasa, 02 Sep 2025

Enam tahun bersama, cinta dan perjuangan Ardell serta Nadzmi terus utuh dalam misi kemanusiaan.

ENAM tahun melayari bahtera rumah tangga, pasangan selebriti Ardell Aryana dan Nadzmi Adhwa sekali lagi menjadi tumpuan bukan kerana kisah hiburan, tetapi keteguhan mereka dalam kerja-kerja kemanusiaan yang tidak pernah putus sejak zaman bujang lagi.

Sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang keenam, Nadzmi menzahirkan ucapan penuh makna buat isterinya, Ardell, yang kini sedang menyertai Misi Global Sumud Flotilla.

Misi itu merupakan sebuah pelayaran bersejarah yang menghimpunkan rakyat dunia bagi memecahkan sekatan haram Israel ke atas Gaza.

BACA LAGI: Pentingnya proses pulihara bangunan kolonial supaya generasi akan datang terus hargai sejarah

BACA LAGI: Rumah Tangsi, The Godown, 7 bangunan nostalgia berwajah baharu, kini jadi pusat seni, gaya hidup

Dalam ucapan ringkas dikongsi bersama kompilasi video misi bantuan mereka di Syria, Palestin, Indonesia dan juga Malaysia, Nadzmi menyatakan rasa bangganya terhadap perjuangan Ardell yang konsisten membantu mereka yang tertindas.

"Dari sebelum kahwin dah buat kerja ini. Teruskan perjuanganmu. Moga Allah redha dengan segala apa yang diniat.

"Pedulikan apa kata mereka, maafkan lisan mereka, mereka tidak tahu. Selamat ulang tahun perkahwinan kita yang keenam ya @ardellaryana.

Semoga selamat pergi, selamat pulang dari Gaza. Kami tunggu awak balik ya," luahnya di Threads

Ucapan itu tidak sekadar luahan seorang suami yang rindu pada isterinya, tetapi juga pengiktirafan terhadap keikhlasan Ardell dalam menjadikan kerja kebajikan sebagai sebahagian daripada hidupnya.

Pasangan itu sudah lama dikenali kerana penglibatan aktif mereka dalam pelbagai misi kemanusiaan.

Malah sebelum disatukan sebagai suami isteri pada 2019, Ardell dan Nadzmi sering turun padang menghulurkan bantuan di kawasan bencana, hospital kanak-kanak, rumah gelandangan serta negara-negara yang dilanda konflik.

Perjuangan itu terus segar hingga kini dan selepas mendirikan rumah tangga serta dikurniakan cahaya mata, kedua-duanya masih teguh meletakkan nilai kemanusiaan sebagai misi utama dalam hidup berkeluarga.

Baru-baru ini, Ardell berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama selebriti Zizi Kirana sebagai wakil Malaysia untuk menyertai delegasi pertama menuju ke Sepanyol.

Dari sana, mereka akan memulakan pelayaran ke Gaza bersama aktivis antarabangsa lain.

Misi Global Sumud Flotilla itu dianggap sebagai satu langkah berani bagi menghimpunkan suara dunia menentang sekatan rejim Israel, di samping membawa mesej solidariti buat rakyat Gaza yang terus menderita.

Di sebalik keberanian Ardell, doa dan sokongan daripada Nadzmi nyata menjadi kekuatan.

Ucapannya bukan sahaja sarat dengan kasih seorang suami, tetapi juga penguat semangat untuk seorang isteri yang sedang menempuh misi penuh risiko.

Bagi pasangan itu, ulang tahun perkahwinan bukan sekadar mengenang hari bahagia, tetapi satu peringatan bahawa cinta yang mereka bina turut diperteguhkan dengan nilai perjuangan demi insan lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram