Cintakan sejarah tiup semangat usahawan buka kedai antik, gramofon 1920-an antara khazanah berharga


  • Hias
  • Rabu, 03 Sep 2025

Kedai kecil ini ibarat galeri mini yang menyimpan khazanah sejarah.

DI kala ramai memilih kerjaya stabil di pejabat dengan gaji tetap setiap bulan, tidak semua yang berani meninggalkan zon selesa untuk menceburi bidang penuh ketidakpastian seperti perniagaan barang antik.

Namun itulah langkah berani yang diambil oleh Nor Azlinawati Zakaria, 42, pemilik kedai House of Gramophone.

Dari seorang jurutera perisian di sebuah bank antarabangsa, beliau kini mengemudi kehidupan sebagai usahawan antik.

BACA LAGI: Rumah Tangsi, The Godown, 7 bangunan nostalgia berwajah baharu, kini jadi pusat seni, gaya hidup

BACA LAGI: Popularkan kembali bunga raya, setiap kelopaknya mewakili prinsip Rukun Negara

Ia merupakan dunia yang sarat dengan sejarah, nilai sentimental dan cabaran tersendiri.

Bagi kebanyakan orang, dunia barangan antik dianggap penuh dengan nostalgia dan nilai seni.

Namun bagi Azlinawati, penglibatan dalam perniagaan ini bermula secara tidak sengaja dan hanya sekadar mahu melepaskan barangan lama ketika berpindah rumah.

"Saya asalnya bekerja sebagai 'software test engineer'. Jawatan terakhir saya di Standard Chartered Bank. Masa itu, sambil bekerja saya buat jual beli barang antik secara sambilan.

"Selepas kontrak habis, saya putuskan untuk berhenti dan mencuba sepenuh masa dalam bidang ini," katanya kepada Majoriti.

Azlinawati berkongsi koleksi bersejarah yang bukan sahaja bernilai tinggi tetapi juga mampu menaikkan seri dekorasi rumah.

Segalanya bermula sewaktu beliau mahu mengurangkan barangan peribadi sebelum berpindah.

Dari situ, beliau mula berjinak-jinak dengan jualan 'car boot sale'.

"Barang pre-loved saya habis terjual, tapi saya nampak ada peniaga lain menjual antik. Saya belajar sikit demi sedikit, mula beli barang untuk dijual semula.

"Lama-kelamaan timbul keyakinan, tambahan pula saya dah ada pelanggan tetap," jelasnya.

Menariknya, beliau asalnya bukan seorang pengumpul kerana minat mengumpul antik tidak datang daripada keluarga.

Namun, kerana latar keluarga yang dekat dengan muzik, beliau akhirnya lebih cenderung kepada koleksi berkaitan gramophone dan rekod lama.

Setiap barangan antik menyimpan cerita dan nilai sejarah tersendiri.

Antara cabaran utama ialah kesukaran mendapatkan stok pada harga berpatutan.

"Barang antik ini lain dengan barang baharu. Ia semakin hari semakin susah dicari. Bila orang sedar nilainya, mereka mahu jual pada harga tinggi.

"Kalau peniaga beli mahal, nak jual balik pun susah. Jadi saya kena rajin keluar mencari ke seluruh Semenanjung, kadang sampai ke Sabah, malah ke luar negara seperti Indonesia dan United Kingdom," ujarnya.

Beliau akui persaingan antara peniaga juga sengit kerana jumlah barang lama semakin berkurangan.

Gramofon klasik era 1920-an masih berfungsi dengan baik.

Walaupun bidang antik luas merangkumi seramik, tekstil, buku, duit lama, Azlinawati memilih untuk memberi tumpuan pada gramophone serta barangan berkaitan muzik.

Untuk kategori seramik pula, beliau hanya fokus kepada barangan peranakan Baba Nyonya kerana lebih mudah dikenali dan sentiasa mendapat permintaan.

"Jadi saya kurang mencari dan menjual seramik Cina kerana bimbang tanpa pengalaman yang banyak boleh jadi kita tidak dapat membezakan antara antik dengan yang baharu. Ini boleh menjejaskan imej kita sebagai peniaga antik sekiranya barang baru dijual dengan nilai harga barang antik."

Walaupun kedainya penuh dengan pelbagai koleksi, Azlinawati tidak menafikan ada beberapa barangan yang menjadi permata utama kerana nilai sejarah yang dibawanya.

1. Gramofon 1920-an

Mesin rakaman suara berpeti kayu besar ini masih berfungsi, lengkap dengan corong besi asal. Ia mengingatkan kita kepada era sebelum radio moden wujud, ketika muzik dimainkan melalui piring hitam di rumah-rumah bangsawan dan hartawan.

"Ini antara paling saya sayang, sebab bukan mudah nak dapat dalam keadaan berfungsi. Bila saya pasang, bunyi klasiknya bawa orang terus ke zaman silam."

2. Radio Kayu Philips Era 1950-an

Pernah menjadi nadi hiburan keluarga Melayu selepas merdeka, radio ini menggambarkan bagaimana masyarakat bergantung kepada siaran berita, hiburan dan drama radio.

Uniknya, model ini ditemui di sebuah kampung di Perak dan pemilik asalnya menyimpan baik sejak lebih 60 tahun.

3. Jam dinding besi cap Ayam

Jam besar dengan bunyi denting nyaring itu pernah digantung di kedai kopi lama sebuah pekan kecil di Melaka.

Dentingannya menjadi penanda waktu untuk pekedai menutup kedai, malah bagi penduduk kampung sekitar yang tidak punya jam tangan.

Kini, nilainya tinggi kerana menjadi saksi kehidupan masyarakat desa era 1960-an.

4. Songket tenunan tangan 1960-an

Kain songket lama dengan benang emas asli ini dikatakan hasil tenunan seorang penenun terkenal di Kelantan.

Pernah digunakan dalam majlis perkahwinan keluarga diraja, songket itu membawa cerita tentang status sosial dan kemewahan dalam adat Melayu lama.

5. Pinggan mangkuk peranakan Baba Nyonya

Dengan motif bunga peony merah jambu dan biru turquoise, pinggan mangkuk menggambarkan kekayaan budaya peranakan yang menggabungkan pengaruh Cina dan Melayu.

Warna asalnya masih terang kerana disimpan dalam almari kaca turun-temurun.

"Barang-barang ini bukan sekadar antik, ia hidup dengan cerita. Kalau tak kita simpan, generasi akan datang takkan tahu bagaimana orang dulu makan, berpakaian atau berhibur," katanya.

Barangan antik menjadi inspirasi dekorasi rumah dengan sentuhan klasik.

Mengenai faktor nilai, beliau menjelaskan usia semata-mata tidak menentukan harga.

Keunikan, kondisi dan cerita di sebalik memberi nilai kesan lebih besar.

"Kalau barang 100 tahun tapi senang dapat, nilainya tak setinggi barang lain yang jarang ditemui. Kondisi juga penting jika retak kecil pun boleh jatuhkan harga."

Antara item paling mendapat perhatian pelanggan ialah radio klasik dan jam dinding yang masih berfungsi, manakala songket lama hanya senang dijual jika dalam keadaan cantik dan tidak koyak.

Pelanggan utamanya ialah pengumpul tegar, diikuti golongan muda yang mahu menghias rumah dengan elemen antik.

Radio kayu Philips 1950-an jadi tarikan utama pengunjung.

Beliau berharap anak muda lebih menghargai nilai barangan antik kerana ia bukan sekadar hiasan, malah menyimpan sejarah keluarga dan negara.

"Kalau keluarga ada simpan barang lama, jangan buang. Simpan elok-elok atau baiki. Kalau kita sedar nilainya kemudian, mungkin dah terlambat."

Kepada yang baru mahu mencuba, beliau menasihatkan supaya membeli dengan sabar, buat kajian dan jangan terlalu ghairah.

"Barang antik boleh jadi hobi, pelaburan jangka panjang, atau sumber pendapatan. Kalau pandai cari barang cantik dengan harga murah, satu hari nanti nilainya boleh berlipat ganda sama macam kita beli emas." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram