
FENOMENA cincin pertunangan bersaiz besar semakin mendapat perhatian. Selepas Georgina Rodriguez mempamerkan cincin pertunangan mewahnya, muncul pula penyanyi, Taylor Swift dengan foto lamaran bersama cincin lama potongan brilliant-cut old mine.
Rata-rata selebriti kini menjadikan cincin bersaiz besar sebagai simbol cinta dan gaya hidup.
Bagi kebanyakan bakal pengantin, perkahwinan adalah detik paling mengujakan dalam hidup. Setiap perincian penting, daripada pakaian, dekorasi, bunga sehinggalah ke barang kemas.
BACA LAGI: Anak tolak makan sayur bukan tanda anda ibu bapa gagal, 5 cara reset semula selera si manja
BACA LAGI: [VIDEO] Gantung lukisan seperti pro, ikuti panduan hiasi dinding rumah bak galeri
Taylor Swift menerima cincin rekaan khas dengan potongan brilliant-cut old mine, manakala Georgina diberi cincin dengan pertama besar. — Instagram selebriti
Cincin pertunangan sering menjadi tumpuan utama kerana bukan sahaja melambangkan ikatan, malah mencerminkan peribadi dan cita rasa pasangan.
Selebriti antarabangsa mendahului trend ini. Bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo melamar Georgina dengan cincin permata besar, manakala Taylor menerima cincin rekaan khas bersama Travis Kelce.
Selain itu, penyanyi, Dua Lipa tampil dengan cincin berlian unik diikat pada gelang lebar, manakala bekas wartawan dari Amerika Syarikat (AS), Lauren Sanchez memukau dengan berlian oval sekitar 30 hingga 40 karat dan Zendaya turut mencuri perhatian dengan cincin berbentuk oval.
Di India pula, nama besar seperti Priyanka Chopra, Alia Bhatt, Shilpa Shetty dan Asin Thottumkal sudah lama mempamerkan cincin berkarat tinggi.
Dua Lipa juga tampil dengan cincin berlian unik diikat pada gelang lebar. — Instagram/@dualipa
Jelas bahawa cincin sebegini bukan sekadar barang kemas, tetapi mampu mencetuskan sensasi media sosial.
Menurut pereka barang kemas, Vandana M Jaghwani, obsesi terhadap cincin bersaiz besar bukan hanya kerana nilai mewahnya.
"Ia bukan sekadar soal saiz, tetapi pernyataan diri. Orang kini memilih potongan unik, bentuk memanjang, batu berwarna dan rekaan vintaj.
"Walaupun trend pemakaian barang kemas semakin minimalis, ramai mahu sekurang-kurangnya satu item bold, iaitu cincin pertunangan," katanya.
Mira Gulati pula menekankan simbolik di sebalik cincin bersaiz besar.
"Apabila selebriti tampil dengan cincin sebegini, ia jadi topik perbualan.
"Saiznya melambangkan cinta yang diraikan secara terbuka dan mewah. Ia bukan lagi soal praktikal, tetapi emosi dan drama yang mahu dipamerkan," ujar beliau.
'Penangan' Taylor turut dibincangkan. Menurut Jagwani, pilihan penyanyi itu lebih daripada sekadar cincin selebriti, ia menjadi simbol budaya.
Dengan cincin vintaj hasil kolaborasi bersama pereka bebas, Taylor mengangkat nilai keaslian dan sentuhan peribadi berbanding rekaan komersial.
Hal ini dijangka mempercepatkan minat global terhadap potongan lama, rekaan antik dan gaya maksimalis.
Pengarah Urusan sebuah label barang kemas mewah berpusat di Kolkata,The House of MBJ iaitu Gunjan Soni, beliau menambah bahawa Taylor mampu mengubah cara orang melihat barang kemas.
Pilihan beliau boleh mendorong pasangan memberi tumpuan kepada reka bentuk yang seimbang antara keselesaan dan makna peribadi.
Pengaruh selebriti terhadap pengantin biasa juga jelas. pengasas sebuah makmal barang kemas di India, Surya Jain menyatakan ramai bakal pengantin meminta rekaan diinspirasikan selebriti tetapi dalam saiz lebih sederhana.
Dengan adanya berlian buatan makmal, impian memiliki cincin besar semakin mudah dicapai tanpa menjejaskan kualiti dan gaya.
Walau tidak semua mampu atau mahu cincin gergasi, kecenderungan ke arah keunikan semakin ketara.
Generasi muda misalnya lebih berani memilih batu berwarna, potongan antik atau rekaan buatan tangan.
Trend batu besar juga melangkaui cincin. Daripada barang kemas perkahwinan Kiara Advani yang menampilkan berlian asli dan zamrud Zambia sehinggalah rantai mewah Nita Ambani, jelas bahawa perhiasan bersaiz luar biasa kini digemari untuk gelang, subang dan rantai.
Namun, ada cara untuk menata gaya dengan seimbang. Mira menasihatkan agar cincin besar dipadankan dengan barang kemas ringkas seperti gelang minimalis, cincin kahwin nipis dan subang halus.
Biarkan cincin utama menjadi tumpuan tanpa diganggu aksesori lain. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram