
BERMULA dengan hanya modal sekecil RM300, tidak pernah terlintas dalam fikiran perjalanan Sitti Fatimah Janna akhirnya membuahkan hasil sehingga mampu melahirkan pempayar perniagaannya sendiri.
Pemilik dan pengasas kilang kosmetik dan kecantikan di bawah nama SFJ Group Sdn Bhd itu juga berjaya melebarkan sayap dengan membuka cawangan baharu di Semenanjung Malaysia.
Mula bertapak di Tawau, Sabah sebagai kilang OEM (Original Equipment Manufacturer) sejak 2016, kilangnya kini beroperasi di Sepang, Selangor dan bakal membuka lembaran di Indonesia kelak.
BACA LAGI: Ungkapan 'I love you' di dalam lif, penghantar makanan berjaya pikat hati guru
Sitti Fatimah mula menjalankan operasi perniagaannya di Tawau, Sabah sejak 2016.
Langkah kecil dari rumah
Kata Sitti Fatimah, perniagaan itu asalnya bermula secara kecil-kecilan.
Anak jati Sabah itu pada awalnya hanya menjadi orang tengah yang menguruskan pesanan pelanggan dengan syarikat lain.
"Waktu mula-mula, saya jual produk orang lain.
"Dari rumpai laut untuk makanan kesihatan sehinggalah sabun dan krim rumpai laut.
"Bila permintaan semakin tinggi, baru saya berani ambil langkah lebih besar," katanya kepada Majoriti.
Meskipun bukan graduan sains tulen, Sitti Fatimah aktif menyertai kursus pembuatan produk kosmetik dan penjagaan wajah demi memastikan keselamatan pelanggan.
Nekad menambah pendapatan, Sitti Fatimah memilih untuk menjalankan perniagaannya secara dalam talian tanpa berhadapan dengan pelanggan.
"Ketika itu saya masih bekerja sebagai kerani di sebuah kilang kosmetik juga dengan gaji RM600 sebulan.
"Memang awalnya saya sangat malu untuk ke hadapan atau berjumpa dengan orang.
"Tetapi, lama-kelamaan, saya belajar untuk keluar daripada zon selesa demi kembangkan bisnes ini," jelasnya.
Situasi itu turut mendorongnya untuk melaburkan simpanan sebanyak RM100,000 bagi membangunkan kilang kosmetik sendiri serta mendapatkan sijil kelulusan GMP.
Katanya, SFJ Group dibangunkan dan beroperasi sebagai sebuah kilang dengan mesin manual tanpa sebarang bantuan kerajaan.
Kesemua modal yang digunakan adalah daripada simpanan dan hasil titik peluh Sitti Fatimah berniaga kecil-kecilan sebelum ini.
Noor Arwiyansyah (kiri) antara individu penting dalam perniagaannya.
Suami pendorong semangat
Di sebalik jerih perih Sitti Fatimah membangunkan perniagaannya, munculnya sosok penting yang menjadi pendorong buat wanita itu.
Ibu kepada dua anak itu ternyata menjalankan perniagaan sejak awal percintaan dengan suaminya, Noor Arwiyansyah yang kini merupakan pengarah di SFJ Group.
Mengenang kembali detik-detik membantu isteri tercinta, Noor Arwiyansyah mendedahkan bahawa pernah berkhidmat di kilang yang sama dengan Sitti Fatimah.
"Kami sebenarnya bekerja di kilang yang sama waktu itu.
"Jadi tugas saya adalah menguruskan logistik dan penghantaran pesanan pelanggan kami.
"Waktu rehat biasanya saya akan curi masa sekejap untuk keluar dan hantar barang di pusat kurier.
"Waktu itu kami masih bercinta dan belum berkahwin lagi," ujarnya.
Kilang pertama SFJ Group yang beroperasi di Tawau.
Rugi lebih RM700,000
Cabaran dan ujian sudah menjadi lumrah dalam dunia perniagaan.
Begitu juga dengan SFJ Group, Sitti Fatimah sempat mengimbau momen bersejarah dalam hidupnya sepanjang menjalankan perniagaan.
"Rata-rata pelanggan kami keluarkan jumlah wang yang sangat besar sekitar ratusan ribu untuk hasilkan produk mereka.
"Sebab kami kilang walaupun guna formula atau bahan yang sama, kalau salah Standard Operation Procedur (SOP) memang akan rugi banyak.
"Jadi, ada satu hari itu ada satu kontena produk pelanggan kira-kira RM700,000 kosnya.
"Tetapi, waktu itu kesemua barang ada kerosakan dan tak boleh diguna.
"Waktu itu kami terpaksa tanggung semua kerugian 100 peratus," konsginya.
Pengalaman itu sekali gus mengajarnya bahawa setiap ujian adalah peluang untuk memperbaiki kualiti dan memperkukuh hubungan dengan pelanggan.
Katanya, cara menangani setiap konflik turut menjadi antara faktor pelanggan tetap menggunakan perkhidmatan SFJ Group untuk menghasilkan produk kecantikan mereka.
Kini, SFJ Group yang berpangkalan di Sepang dapat membantu memudahkan urusan perniagaan dan penghantaran kepada pelanggan seluruh Malaysia.
Bukan sahaja berfungsi sebagai kilang OEM, SFJ Group turut menyediakan pakej bimbingan pemasaran kepada para usahawan yang bekerjasama dengan mereka.
Shiha Zikir (tengah) merupakan duta rasmi pertama untuk jenama SFJ Group.
Pakej tersebut disertakan dengan kos serendah RM3,000 hingga RM5,000 bagi membolehkan usahawan mengeluarkan produk kosmetik atau kecantikan jenama sendiri.
Mereka juga mempunyai lebih 50 pengasas kecantikan tempatan yang aktif bernaung di bawah SFJ Group.
Selepas 12 tahun berusaha, SFJ Group akhirnya melantik penyanyi Shiha Zikir sebagai duta produk serta ikon wanita yang berdikari, berdisiplin dan sentiasa memberi inspirasi.
Status Shiha yang juga merupakan usahawan secara tidak langsung membantu perniagaan Sitti Fatimah berkembang dengan efektif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram