Ramai anak muda ingin kahwin tapi terhalang faktor kos sara hidup, kerja tak stabil — Nancy


  • Massa
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Ramai anak muda ingin membina keluarga tetapi terhalang oleh faktor seperti kos sara hidup. — Gambar hiasan/Freepik

RAMAI anak muda berhasrat untuk mendirikan rumah tangga dan membina keluarga tetapi terhalang oleh faktor seperti kos sara hidup, pekerjaan tidak stabil, kekurangan akses penjagaan anak dan kebimbangan terhadap masa depan. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan bahawa suara anak muda seharusnya didengari. 

Justeru ujarnya, penyelesaian diperlukan ialah ekosistem yang menyokong, bukan sekadar seruan untuk berkeluarga dengan segera.

BACA LAGI: Kahwin sebelum umur 25 bukan beban, 5 'trick' kumpul duit, tak perlu berhutang, harap tajaan

BACA LAGI: Pengaruh luar, kebebasan peribadi antara alasan ramai Gen-Z pilih kahwin berkonsepkan 'child-free'

Nancy menegaskan bahawa suara anak muda perlu didengar. 

"Isu kependudukan hari ini adalah krisis semasa yang menuntut tindakan dasar inklusif dan progresif. 

"Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) negara kini ialah 1.7 anak, jauh di bawah paras penggantian 2.1 anak.

"Malaysia mencatatkan penurunan kelahiran sebanyak lebih 11 peratus pada suku pertama 2025 berbanding tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai Hari Penduduk Sedunia yang disambut pada 11 Julai setiap tahun, Nancy berkata, sambutan pada tahun ini mengetengahkan tema 'Memperkasa golongan muda untuk membentuk keluarga yang mereka inginkan dalam dunia yang adil dan penuh harapan'.

Jelasnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menzahirkan komitmen untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu kependudukan yang semakin mencabar termasuk hak kesihatan reproduktif, perubahan demografi, kesejahteraan keluarga dan pembangunan mampan.

"KPWKM dan LPPKN kini memberi tumpuan pada pelaksanaan strategi menyeluruh khusus untuk golongan muda.

"Ia termasuk subsidi Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAl) kepada 1,300 pasangan suami isteri yang layak, penjagaan anak serta kemudahan cuti ibu bapa yang lebih fleksibel bagi meringankan beban mereka dalam merancang dan memulakan kehidupan berkeluarga," maklumnya.

Bersempena sambutan tahun ini, KPWKM melalui LPPKN, dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia, Universiti Malaya (UM) dan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) akan menganjurkan acara kemuncak sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 pada 21 Julai, bertempat di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Uniknya, sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 turut diperluas ke peringkat negeri sepanjang Julai dan Ogos melalui penganjuran seminar-seminar bertemakan kependudukan dan keluarga.

Program berkenaan bakal digerakkan pejabat negeri LPPKN bersama rakan strategik di seluruh negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram