
KETIKA nama-nama besar seperti Picasso dan Matisse mendominasi dunia seni moden, jarang orang membayangkan bahawa sumber inspirasi mereka datang daripada seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dari Algeria.
Hanya dengan berus dan warna-warna berani, Baya Mahieddine bukan sekadar mencipta lukisan tetapi beliau mencabar pandangan dunia terhadap wanita, kebebasan serta identiti.
Kisahnya adalah bukti bahawa seorang genius boleh lahir dari pinggir dunia, lalu menggoncang pusat seni di Paris.
BACA LAGI: Anak tolak makan sayur bukan tanda anda ibu bapa gagal, 5 cara reset semula selera si manja
BACA LAGI: [VIDEO] Botol susu anak jadi 'baton' kasih sayang rakyat Malaysia ketika Hari Kebangsaan
Dilahirkan di Algiers pada 1931 dengan nama Fatma Haddad, Baya telah menjadi anak yatim piatu ketika usianya lima tahun.
Beliau dibesarkan oleh neneknya sebelum diambil sebagai anak angkat oleh Marguerite Camina Benhoura, seorang intelektual Perancis yang menyedari bakat seni luar biasa gadis cilik itu.
Benhoura menyediakan ruang, barangan dan hubungan yang akhirnya membuka jalan untuk Baya menjejak kaki ke dunia seni antarabangsa.
Antara karya hasil lukisan Baya.
Pada 1947 ia menjadi titik penting buat Baya kerana dipertemukan dengan Aimé Maeght, pedagang seni Perancis dan André Breton, tokoh Surealisme.
Lukisannya dipamerkan di Pameran Antarabangsa Surealisme di Galeri Maeght, Paris dan dari situlah nama Baya mula mendapat perhatian ramai termasuk Picasso dan Matisse.
Melihat kepada hasil seni Baya ramai pelukis terkemuka mula jatuh hati pada gaya kanak-kanak yang penuh spontan, flora, fauna dan wanita berwarna-warni.
Picasso malah menjemput Baya ke studionya.
Tidak ramai yang memilih untuk percaya warna-warna cerah serta visi kebebasan dalam karya Picasso era 1950-an banyak dipinjam daripada imaginasi Baya.
Hasil kerja Baya menampilkan sisi abstrak yang luar biasa untuk era itu.
Berbeza daripada kebiasaan, dunia lukisan Baya hadir tanpa lelaki.
Kanvasnya dipenuhi wanita anggun, flora, burung, ikan sekali gus satu fantasi yang menolak tatapan orientalis Eropah terhadap wanita afrika.
Baya mencipta identiti sendiri yang digelar pengkritik sebagai Baya-isme yang menolak label, serta stereotaip.
Pada 1953, Baya berkahwin dan dikurniakan enam orang anak.
Semasa Perang Algeria (1954–1962), beliau berhenti melukis hampir sedekad untuk memberi tumpuan kepada keluarga.
Namun, selepas negaranya merdeka, Baya kembali ke dunia seni dengan lebih kuat dan kreatif.
Lukisannya muncul di galeri, rumah pengumpul hiasan seni, malah pada setem Algeria sebagai simbol pengiktirafan negara terhadap ikonnya.
Walaupun sudah lama terperangkap dalam bayang kolonialisme dan naratif orientalis, hari ini Baya diraikan sebagai salah seorang ikon seni terbesar Afrika Utara.
Beliau bukan sekadar pelukis, tetapi pencetus imaginasi yang mempengaruhi Picasso dan Matisse, dua nama gergasi dalam sejarah seni dunia.
Baya membuktikan bahawa walau bermula sebagai gadis yatim piatu dari Algiers, karyanya mampu menggoncang pusat seni Paris, menoreh pengaruh pada Picasso dan menanam inspirasi kepada generasi baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram