[VIDEO] Pelajar Papua Pegunungan bawa batu ke sekolah, bina lantai bilik mandi khas untuk cikgu


  • Cinta
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Tangkap layar (kanan) menunjukkan sekumpulan pelajar membawa batu-batu ke sekolah untuk diberi kepada guru tersebut.

TINDAKAN sekumpulan murid dari sebuah sekolah di Kawasan Papua Pegunungan membawa batu-batu kecil untuk membina sebuah bilik mandi ringkas khas buat guru mereka meraih perhatian warga maya.

Momen itu dikongsikan seorang guru wanita menerusi hantaran di akaun TikTok miliknya, @clrsanda, baru-baru ini.

Beliau turut berkongsi catatan perbualan singkat antara dirinya dengan murid-murid tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Peroleh gaji cecah RM5,000 sebulan, Orang Asli terharu dapat kerja bersama The Asli Co

BACA LAGI: Pak Menteri menangis dengar luahan hati dan semangat guru Sekolah Rakyat mahu bantu pelajar miskin Indonesia

“Saya (tanya), batu-batu itu buat apa?

"Murid (jawab), untuk lantai bilik air supaya cikgu tak pulang ke bandar disebabkan tempat mandi jauh,” tulisnya.

Tingkah laku tak dijangka itu nyata mencuri perhatian netizen yang rata-rata tersentuh dengan keprihatinan mereka terhadap kesusahan guru.

Usaha tersebut juga dilakukan agar guru mereka selesa tinggal di kawasan pedalaman sekali gus terus bersemangat mengajar.

"Batu tersebut digunakan untuk membuat lantai bilik air kerana di sini simen agal mahal," ujar guru itu.

Guru tersebut (kiri) sering berkongsi pengalaman mengajar di Papua Pergunungan di akaun TikTok miliknya.

Difahamkan kejadian itu berlaku hanya selepas tiga hari guru tersebut bertugas di sekolah berkenaan.

“Luar biasa, walau hidup serba sederhana tetapi masih memikirkan keselesaan guru mereka,” tulis Abuputih.

"Begitu takutnya mereka guru tidak tahan mengajar di situ sehingga sanggup ambil inisiatif untuk bawa batu-batu tersebut," kata lisk170.

Menjengah ke akaun TikTok miliknya, guru tersebut dilihat sering berkongsi pengalaman mengajar di Papua Pergunungan termasuk kehidupan pelajar di sana.

Untuk rekod, Papua Pegunungan merupakan salah satu wilayah di Indonesia yang terletak di kawasan timur negara itu, tepatnya di bahagian tengah Pulau Papua.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram