
SKUAD kebangsaan akan menempuhi dua aksi persahabatan pada awal September sebagai persiapan menjelang perlawanan penting berdepan Laos dalam Kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober nanti.
Dua lawan dipilih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merupakan Singapura dan Palestin dengan kedua-dua pertembungan tersebut akan berlangsung dalam negara.
Perlawanan berdepan Singapura yang akan berlangsung pada 4 September akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sementara satu lagi aksi bakal dijalankan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
BACA LAGI: Malaysia rumah kedua saya, Gabriel Palmero lahir dari akademi hebat Sepanyol — Ramon Marcote
Skuad kebangsaan akan berdepan Singapura dan Palestin dalam aksi persahbatan pada awal bulan depan. — Facebook/Malaysia NT
Kedua-dua aksi berkenaan sememangnya menarik untuk disaksikan memandangkan prestasi skuad kebangsaan ketika ini adalah cukup baik selepas sebelum ini memalukan Vietnam menerusi keputusan 4-0 dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
Bagaimanapun, setakat ini, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski masih belum membuat sebarang keputusan mengenai barisan pemain bakal dipanggil ke kem latihan.
Ini kerana saingan Liga Super masih berlangsung dengan senarai pemain yang dikeluarkan terlalu awal akan mengganggu fokus dalam tugasan bersama kelab masing-masing.
Namun, seorang bintang warisan negara sudah disahkan akan berada dalam pasukan selepas sebuah media antarabangsa mendedahkan bek kiri, Gabriel Palmero akan beraksi dalam kedua-dua perlawanan itu.
Laporan terbaru dari kelab semasanya, Unionistas de Salamanca menyatakan pemain tersebut akan terlepas aksi akan datang kerana komitmen buat Harimau Malaya.
Palmero sudah beraksi sebanyak dua kali buat Harimau Malaya setakat ini. — Facebook/Malaysia NT
"Palmero akan memulakan perjalanan ke Malaysia untuk bersama Harimau Malaya hanya beberapa jam selepas aksi pertama liga berdepan Osasuna Promesas yang akan menyaksikannya terlepas peluang beraksi menentang Club Deportivo Arenterio.
"Bek kiri kelahiran Pulau Canary itu dijangka akan diberi kepercayaan daripada ketua jurulatih, Oriol Riera untuk mempersiapkan diri untuk perlawanan liga ketiga menentang Club Deportivo Guadalajara," tulisnya.
Jadual liga divisyen ketiga Sepanyol itu menyaksikan Unionistas de Salamanca akan memulakan kempen liga pada Ahad depan dengan tempoh masa terlalu dekat dengan aksi persahabatan negara menentang Singapura.
Oleh itu, pihak pengurusan dan kejurulatihan terpaksa berkorban untuk melepaskan Palmero bagi aksi kedua yang berlangsung pada 7 September dengan harapan dia dapat kembali dalam keadaan cergas.
Pemain tersebut dipinjamkan dari kelab sebelumnya, CD Tenerife selepas sukar menerima peluang sepanjang musim lalu sehingga terpaksa beraksi buat pasukan simpanan.
Meskipun kurang meraih minit permainan kompetitif, Palmero memberi persembahan terbaik dalam dua penampilan buat skuad kebangsaan, iaitu semasa berdepan Cape Verde dan Vietnam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram