Murid B40 di tadika swasta dapat bantuan yuran secara ‘one-off’


  • Massa
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Bantuan dihulurkan dapat meringankan beban ibu bapa yang menanggung kos sara hidup cukup tinggi. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menyediakan bantuan yuran khusus kepada anak-anak keluarga berpendapatan rendah (B40) yang mengikuti pendidikan prasekolah di tadika swasta bagi meringankan beban kos ditanggung ibu bapa.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, bantuan berbentuk bayaran sekali gus (one-off) itu diberikan untuk tempoh setahun akademik dengan jumlah sebanyak RM1,175.40 bagi setiap murid pada 2025.

“Sehingga kini, seramai 1,106 murid B40 di tadika swasta seluruh negara menerima manfaat dengan jumlah tertinggi penerima di Sabah, Sarawak dan Kelantan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara pada Selasa.

BACA LAGI: Keluar dari kepompong B40, ini rahsia kejayaan lepas lalui hidup susah

BACA LAGI: Bermodalkan RM20,000, Zed Zaidi mulakan bisnes insurans 'road tax' KawKaw!, matlamat bantu klien B40

KUALA LUMPUR, 16 Mac -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini.
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Fadhlina menjelaskan usaha diambil bagi mengurangkan beban dipikul ibu bapa yang menghantar anak-anak ke tadika swasta.

Fadhlina berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator, Datuk Nelson W Angang mengenai langkah kerajaan mengawal kenaikan kos prasekolah sektor swasta, khususnya di bandar serta isu gaji guru tadika yang masih rendah.

Menurutnya lagi, dasar gaji minimum RM1,700 yang ditetapkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) turut terpakai kepada guru di tadika swasta.

“KPM menyambut baik dasar ini kerana ia selaras dengan syarat kelayakan akademik minimum bagi guru tadika, iaitu diploma pendidikan awal kanak-kanak.

“Tindakan penguatkuasaan oleh Kementerian Sumber Manusia diyakini dapat meningkatkan pematuhan sekali gus menjamin kebajikan guru tadika swasta,” katanya.

Mengenai isu yuran, Fadhlina berkata, setiap tadika swasta yang berdaftar diwajibkan mematuhi syarat kelulusan ditetapkan KPM termasuk bayaran yang boleh dikenakan kepada ibu bapa.

“Sebarang permohonan kenaikan yuran hanya dibenarkan selepas tiga tahun dan tidak boleh melebihi 30 peratus daripada kadar sedia ada. KPM menilai setiap permohonan berdasarkan lokasi, kemudahan serta kelayakan guru, dengan mengambil kira kepentingan pengusaha dan ibu bapa,” katanya.

Tambahnya lagi, semua kadar yuran yang diluluskan adalah bagi menjamin kelangsungan operasi tadika mengikut Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan selaras dengan peruntukan Seksyen 20 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang mewajibkan semua tadika swasta berdaftar dengan KPM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram