
SEORANG wanita tampil mendedahkan pengalamannya bersama syarikat perancang perkahwinan terkenal yang didakwa gagal menunaikan janji selepas menerima bayaran deposit.
Menerusi perkongsian di platform Threads dengan nama akaun nulizzer, wanita itu berkata, niatnya bukan untuk menjatuhkan perniagaan orang lain, sebaliknya mahu memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa penipuan boleh berlaku walaupun melibatkan syarikat dikenali.
Menurutnya, perancang perkahwinan tersebut sepatutnya menguruskan majlis perkahwinan beliau pada Julai 2024, namun dihiraukan selepas membuat bayaran sebanyak 20 peratus.
BACA LAGI: Dua suspek ditahan tipu pakej perkahwinan di Lembah Klang
"Akaun saya disekat di Instagram apabila cuba menghubungi mereka melalui ruangan komen kerana mesej di WhatsApp tidak dilayan,” katanya pada Selasa.
Beliau mendakwa, selepas beberapa kali mendesak, termasuk menuntut bayaran balik sekiranya syarikat itu enggan bekerjasama, masalah masih berlarutan.
Lebih mengejutkan, pendedahannya di platform X (Twitter) mendapat respons daripada individu lain yang mendakwa mengalami nasib sama.
"Saya korbankan masa, tenaga dan wang untuk membuat laporan polis dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kerana tiada siapa yang bersuara tentang hal ini dan penipu hadir dalam pelbagai bentuk.
"Tribunal kemudian memutuskan supaya syarikat berkenaan membayar semula jumlah penuh," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, syarikat tersebut hanya memulangkan separuh daripada wang deposit dan berjanji melunaskan baki pada minggu berikutnya.
Namun beliau mendakwa, janji itu tidak ditepati.
“Saya kena abai lagi. Saya rasa mereka memang tak berniat untuk bayar balik.
"Dalam hal ini, ya saya nampak seperti 'perempuan kecoh' yang berulang-alik ke pejabat kerajaan semata-mata untuk menuntut balik bayaran 20 peratus,” luahnya.
Beliau menegaskan, isu tersebut tidak sepatutnya berlarutan jika pihak syarikat mengakui kesilapan dan menunaikan tanggungjawab mereka.
Wanita itu turut merayu agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Tribunal Pengguna mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik syarikat yang menipu dengan taktik sebegitu.
Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai yang pernah berdepan masalah serupa dengan perancang perkahwinan atau pemilik perniagaan supaya tampil membuat laporan tanpa mengira jumlah kerugian.
“Perjuangkan hak anda dan jangan biarkan mereka terlepas. Walaupun syarikat terkenal atau mempunyai ramai pengikut, masih wujud taktik licik di sebaliknya,” tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram