Syarikat QSR terkemuka Korea Selatan teroka pasaran Malaysia melalui kerjasama strategik dengan Serai Group


  • Sukses
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Dari kiri; Kwon Hyoung Lee (Pengarah Jabatan Perniagaan Global LOTTE GRS), Woo-Chul Cha (Ketua Pegawai Eksekutif LOTTE GRS), Yoo-Yeol Shin (Naib Presiden Eksekutif Strategi LOTTE Corporation), Datuk Mohd Najib (Pengarah Urusan Kumpulan Serai), Qistina Taff (Pengarah Projek Kumpulan Serai) dan Ilanges Rao (Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Serai).

SERAI Group Sdn. Bhd. mengumumkan jalinan kerjasama strategik dengan Lotte GRS dari Korea Selatan untuk membawa francais burger terkenal dunia, Lotteria, ke Malaysia.

Serai Group, yang ditubuhkan pada tahun 2010, merupakan syarikat F&B terkemuka Malaysia di sebalik pelbagai jenama popular seperti Serai, Jibby & Co, dan Jibby Chow.

BACA LAGI: Tewaskan 3,000 penari untuk muncul dalam MV Michael Jackson, wanita Sri Lanka-Amerika kini bergelar profesor antropologi

BACA LAGI: Tengku Zatashah tunai impian anak leukemia jadi puteri

Dengan kepakaran dalam menyajikan hidangan tempatan serta konsep kafe kontemporari, syarikat ini komited terhadap keaslian, kreativiti dan kualiti, sekali gus membentuk selera moden masyarakat Malaysia.

Lotte GRS pula ialah anak syarikat Kumpulan Lotte Korea Selatan yang mengendalikan beberapa jenama ternama termasuk Lotteria, Angelinus dan Krispy Kreme.

Ditubuhkan pada 1979, Lotteria merupakan salah satu jenama restoran perkhidmatan pantas (QSR) paling berjaya di Korea, dengan pasaran meluas hingga ke Vietnam, Myanmar, Laos dan Mongolia.

Lotte GRS kini giat mengembangkan jejak globalnya, berlandaskan inovasi dan falsafah jenama yang menekankan kepuasan pelanggan.

Majlis menandatangani perjanjian berlangsung di Lotte World Tower, Seoul, Korea Selatan dan disaksikan oleh pengurusan kanan kedua-dua syarikat termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Lotte GRS, Mr. Woo-Chul Cha serta Pengarah Urusan Serai Group, Datuk Mohd Najib Abdul Hamid.

Melalui kerjasama ini, Serai Group berhasrat membuka 30 cawangan Lotteria di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan cawangan pertama dijadualkan beroperasi menjelang akhir 2025.

Usahasama ini antara perancangan jangka panjang Lotte GRS untuk memperluas jejak K-burger di Asia Tenggara.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Lotte GRS dalam membawa masuk Lotteria ke Malaysia. Gabungan ini menyatukan kekuatan antara dua jenama. Pemahaman mendalam Serai Group tentang cita rasa rakyat Malaysia dan inovasi serta kejayaan global Lotteria,” kata Datuk Mohd Najib semasa majlis tersebut.

Serai Group melihat kerjasama ini bukan sekadar pelancaran francais baharu, tetapi peluang memperkenalkan pengalaman makanan segera yang menggabungkan tarikan antarabangsa dengan cita rasa tempatan.

“Ini bukan sekadar pelancaran jenama, tetapi peluang melokalkan pilihan global supaya serasi dengan selera dan nilai masyarakat Malaysia,” tambah Datuk Mohd Najib lagi.

Sementara itu, Mr. Woo-Chul Cha menegaskan bahawa melalui kerjasama strategik ini, Lotte GRS berhasrat memperkenalkan pengalaman Lotteria yang unik kepada pelanggan tempatan serta memastikan pertumbuhan mampan jenama ini di Malaysia.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen Serai Group dalam menerajui inovasi kulinari serta misinya untuk menawarkan pengalaman menjamu selera yang lebih bermakna kepada rakyat Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram