
DI kedai MyBolehBoleh di Jalan Sultan, Kuala Lumpur yang terkenal dengan kunjungan pelancong, Edison Ang kelihatan memeriksa durian di premisnya itu.
Setelah berpuas hati, dia membelah buah durian tersebut dan mendedahkan isi lemak berkrim Musang King yang kuning keemasan dengan aroma menusuk hidung.
Di sisinya, berdiri pelancong dari Singapura, Frederick Choy dan Iris Foo, yang setiap tahun datang ke Kuala Lumpur mencari durian terbaik.
Choy dan Foo (kiri) merupakan pelancong dari Singapura yang akan mengunjungi MyBolehBoleh, demi menikmati durian berkualiti. — SAMUEL ONG/The Star
Turut menunggu dengan penuh sabar ialah pengunjung dari China yang teruja untuk merasai durian Malaysia.
Sejak tiga tahun lalu, Ang menghasilkan pelbagai kandungan di media sosial khusus untuk mendidik pengguna di China mengenai durian Malaysia.
Kini, dia mencipta populariti tersendiri sebagai influencer berpengaruh selepas mengutip lebih dua juta pengikut dari China di platform seperti Douyin, Xiaohongshu, Weibo dan WeChat.
Di Malaysia pula, jumlah peminatnya di Facebook, TikTok dan Instagram melebihi satu juta.
“Apabila ada pengunjung yang beritahu mereka datang ke sini kerana nak makan durian selepas tengok video di media sosial saya, ia membuatkan saya gembira kerana ia bukti usaha saya membuahkan hasil dan mempengaruhi sebahagian penonton di China datang ke Malaysia,” ujar Ang.
Namun bagi Ang, ia baru langkah pertama dalam usaha gigihnya untuk mengembangkan industri durian Malaysia dan menjadikannya kuasa besar di peringkat antarabangsa.
Ang mula menghasilkan video tentang durian Malaysia khusus untuk pengikutnya di China pada tahun 2023, sebagai usaha mendidik mereka mengenai keunikan dan keistimewaan durian tempatan. — Edison Ang/Instagram
Dibesarkan di Alor Setar, Kedah, Ang mula belajar berniaga sejak di universiti dengan menjual durian beku kepada kedai-kedai cenderamata tempatan.
Ketika itu, dia tiada pengetahuan mendalam tentang durian.
“Sejak kecil, saya terlibat dalam industri pelancongan. Saya selalu rasa mahu lakukan sesuatu untuk mempromosikan Malaysia di seluruh dunia, terutama di China,” kata Ang.
Kehadiran Ang secara online di platform media China meningkat pesat dan dalam tempoh setahun, akaun-akaunnya itu meraih lebih satu juta pengikut.
Pada 2021, Ang membuat siaran langsung pertama dengan menjual produk Malaysia seperti kopi putih dan durian dengan meraih jualan melebihi 600,000 Yuan (lebih RM355,000) dalam masa dua jam.
Apa yang mengejutkan ialah lebih separuh pembelian datang daripada durian Malaysia.
Jadi pada awal 2023, dia memutuskan untuk memberi fokus sepenuhnya kepada jualan durian Malaysia.
Ang membawa pengikutnya mengunjungi lebih daripada 300 ladang durian di Malaysia secara maya ketika membuat 'live streaming'. — Edison Ang/Instagram
Budaya makan durian di China bermula kira-kira 14 hingga 15 tahun lalu dengan durian montong dari Thailand, manakala durian Malaysia baru mendapat perhatian dalam lima hingga enam tahun kebelakangan ini.
“Durian Thailand dituai ketika baru 70 hingga 80 peratus ranum sebelum dieksport ke China. Jadi aromanya kurang kuat dan isi durian agak keras, sedikit rangup, berbeza dengan durian Malaysia yang lembut dan berkrim.
“Selain itu, durian Musang King Malaysia yang diperkenalkan di China jauh lebih mahal, sekitar empat hingga lima kali ganda harga montong Thailand.
"Ramai yang mempertikaikan harga pada awalnya, namun bila mereka cuba durian Malaysia, barulah mereka sedar betapa sedapnya ia,” jelas Ang.
Dalam salah satu video durian pertamanya pada 2023, Ang berusaha menjelaskan kepada peminatnya di China bahawa durian Malaysia hanya masak apabila gugur daripada pokok.
“Konsep ini sukar difahami oleh pengguna China pada awalnya. Mereka juga tidak pernah lihat pokok durian secara langsung, jadi saya banyak ke ladang durian untuk buat video dan siaran langsung kerana mereka ingin tahu bagaimana rupa pokok durian,” tambahnya.
Kedai durian fizikal MyBolehBoleh di Kuala Lumpur dibuka pada Ogos 2023. — SAMUEL ONG/The Star
Apabila video Ang semakin mendapat perhatian, dia sedar kehadirannya hanya di dunia maya.
Dia boleh bercerita tentang durian, tetapi tiada produk fizikal yang dapat ditunjukkan kepada pengikutnya.
Justeru pada Julai 2023, Ang mengambil keputusan menceburi perniagaan durian secara serius.
Pada Ogos 2023, dia membuka kedai durian fizikal MyBolehBoleh di Kuala Lumpur.
Pada tahun sama, dia memulakan perniagaan eksport durian dengan membuka pejabat di wilayah Guangdong, China dan bekerjasama dengan kilang di Malaysia untuk pasaran Negara Tembok Besar itu.
Ang sendiri menjual durian menerusi siaran langsung di akaun media sosial China beliau.
Dari Jun hingga akhir 2023, perniagaan eksport mencatat hasil jualan sebanyak 20 juta Yuan (RM11.8 juta) yang mendorong dia bekerja lebih keras lagi.
Ang mula belajar berniaga sejak di universiti dengan menjual durian beku kepada kedai-kedai cenderamata tempatan. — SAMUEL ONG/The Star
Namun, perjalanan Ang tidak sentiasa lancar. Tahun 2024 menjadi tahun yang sangat mencabar apabila abangnya, yang juga rakan niaga, memilih untuk menarik diri.
“Ia beri kesan emosi yang besar kerana saya terpaksa menguruskan semuanya sendiri,” katanya.
Tambah pula, dia tidak dapat mencari kilang pemprosesan durian berdasarkan standardnya yang tinggi.
“Kalau nak eksport dan berikan produk yang baik, perlu cari kilang atau rantaian bekalan yang boleh berkualiti dan dipercayai. Tapi saya dapati sukar untuk berbuat demikian.
“Jadi saya terpaksa tukar banyak kilang. Dalam tempoh tiga tahun ini saya sudah guna tiga kilang. Mujurlah saya jumpa kilang rakan kongsi yang boleh sokong saya tahun ini, jadi semuanya semakin baik sejak itu,” jelasnya.
Ang mengusahakan MyBolehBoleh kerana ramai pengikutnya dari China bertanya di mana mereka boleh makan durian sedap semasa melancong ke Malaysia.
Ang mengakui harga durian di MyBolehBoleh lebih mahal daripada kedai lain kerana dia bekerjasama terus dengan ladang-ladang durian yang mengeluarkan Raja Buah berkualiti tinggi. — SAMUEL ONG/The Star
“Saya selalu cadangkan mereka pergi ke SS2 di Petaling Jaya.
“Tapi saya fikir, kalau ramai pengikut nak makan durian, kenapa tidak saya buka kedai sendiri dan jemput mereka datang ke sini?
"Jadi niat asal membuka kedai ini ialah bagi memastikan pelanggan dapat durian Malaysia yang baik,” katanya.
Di MyBolehBoleh, Ang mengakui harga duriannya lebih mahal daripada kedai lain kerana dia bekerjasama terus dengan ladang-ladang durian yang mengeluarkan Raja Buah berkualiti tinggi.
“Pekerja kami ambil terus dari single-origin ladang durian. Kalau durian kami tak sedap, ia boleh ditukar. Sebab kami caj lebih, ada margin keuntungan untuk beri perkhidmatan tambahan ini.
“Saya tak mahu turunkan harga dan jual durian yang kurang berkualiti. Saya lebih suka jual beberapa ratus kilogram sehari dengan beri pengalaman terbaik pada pelanggan,” jelasnya.
Ang mempunyai pengunjung dari China yang sanggup datang ke MyBolehBoleh selepas menonton videonya. — SAMUEL ONG/The Star
Ang juga bercadang mahu bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi mewujudkan ruang pameran budaya durian Malaysia supaya orang ramai dapat belajar tentang pokok durian, musim buah dan petani di sebaliknya.
Tidak terhenti di situ, Ang juga bercita-cita menubuhkan universiti durian!
“Saya rasa sukar nak tingkatkan industri durian kalau kekurangan petani dan pekerja terlatih dari universiti khusus.
"Sekarang penilaian kualiti durian tidak konsisten. Petani kata durian gred A, orang lain kata gred B. Ia isu berpanjangan.
“Kedua, universiti durian boleh melatih penguji rasa durian. Seperti barista kopi, kita perlu ada pakar durian yang diiktiraf,” katanya sambil tersenyum. — The Star / ABIRAMI DURAI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram