
SEORANG wanita meluahkan rasa kecewa apabila cincin emas tulen yang dibelinya bertukar warna selepas disapu losen tangan.
Menerusi perkongsian di laman Threads, wanita tersebut dikenali sebagai @winnerchr pada mulanya berasa pelik apabila warna cincin emas kuning jenis 916 yang dipakai mula pudar dan bertukar perak sejurus selepas terkena produk kosmetik tersebut.
Khuatir dengan perkara itu, wanita terbabit kemudiannya pergi ke sebuah premis menjual emas untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan berhubung ketulenan barangan kemas tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Ibu cekal anak usia setahun hidap kanser buah pinggang tahap 3, jalani 15 kemoterapi
Jelasnya, cincin emas berkenaan kembali ke warna asal selepas beberapa kali dicuci dan disahkan tulen oleh pekerja di kedai terbabit.
"Okay aku dah pergi kedai emas lain untuk cuci, tapi okay dah cuma kusam then aku minta celup.
"Ni memang emas original 916 bukan scam ye, dah periksa dah kat kedai aku rasa losen tu ada merkuri," ujarnya.
Mendakwa kandungan merkuri pada losen itu sebagai punca warna emasnya luntur, ia nyata mengundang pertikaian ramai berhubung hal tersebut yang dianggap langsung tiada kaitan dengan isu berbangkit.
Cincin emas dimiliki merupakan jenis 916 karat.
Di ruangan komen, ramai menggesa agar cincin itu dibawa ke kedai barangan kemas yang lebih dipercayai untuk memeriksa tahap kualiti serta keaslian emas terbabit dengan cara yang teliti.
"Lebih baik awak bawa periksa kat kedai emas trusted, mereka akan test guna acid betul ke 916, saya pakai losen hari-hari tak pernah cincin 916 saya jadi macam tu," kata lafrna.
"Bukan emas dah ni emas tipu, saya pakai gelang 916 dua tahun tak buang-buang, mandi pakai losen sabun emua masih lagi berkilau keemasan," tambah kiwi.scream.
Dalam pada itu, beberapa ujian ringkas boleh dilakukan bagi memastikan emas yang dibeli benar-benar tulen sebelum menjadi mangsa penipuan tidak bertanggungjawab.
1. Periksa cop
Barang kemas emas asli kebiasaannya mempunyai ukiran kecil yang menunjukkan tahap ketulenan, seperti 999 (24K), 916 (22K) atau 750 (18K). Jika tiada cop, ia boleh menimbulkan keraguan.
2. Ujian magnet
Emas asli tidak bersifat magnetik, sekiranya barang kemas ditarik oleh magnet, kemungkinan besar ia bukan emas tulen tetapi campuran logam lain.
3. Gores pada seramik
Antara kaedah mudah boleh dilakukan di rumah ialah dengan menggosok perlahan pada seramik putih tanpa lapisan glaze.
Emas tulen akan meninggalkan kesan goresan keemasan, manakala tanda hitam atau kelabu akan terlihat pada logam tiruan.
4. Ujian asid nitric
Kebiasaannya ujian asid nitric sering dipraktikkan di premis barangan kemas.
Jika emas tulen, permukaannya tidak akan berubah namun sekiranya tiruan, ia akan bertukar hijau atau luntur.
5. Timbang berat dan bunyi
Emas tulen lebih berat berbanding logam lain dengan saiz sama malah, apabila diketuk perlahan, emas menghasilkan bunyi padat berbanding logam tiruan yang lebih nyaring.
6. Ujian gigitan
Walaupun kurang digalakkan, secara tradisional emas tulen yang lembut akan meninggalkan kesan lekuk kecil jika digigit.
7. Mesin XRF analyzer
Kaedah paling moden dan tepat, digunakan di kedai emas besar dan pajak gadai yang berupaya memaparkan komposisi logam dengan serta-merta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram