
PENANG FC memulakan saingan Liga Super dengan langkah yang tidak begitu baik apabila mereka cuma meraih satu mata daripada dua perlawanan.
Satu mata yang diraih adalah ketika bertemu Melaka FC sementara kekalahan diterima adalah semasa berdepan Terengganu FC 0-3 di laman sendiri.
Penyokong mengakui mereka kecewa dengan keputusan tersebut ditambah dengan persembahan beberapa pemain import baharu yang dibawa masuk.
Barisan pemain import baharu Penang tidak beraksi seperti diharapkan.
Terdapat sebahagian penyokong mula mempertikai keputusan kelab untuk membawa beberapa pemain import yang dianggap sebagai scam.
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, persembahan pemain-pemain seperti Danilo Sipovac serta Thiago Fernandes begitu lesu semasa beraksi.
Disebabkan itu, tidak hairan jika ada penyokong berasakan para pemain yang dibawa dianggap scam.
"Pada saya, persembahan mereka dianggap lesu. Tak ada impak yang begitu baik ditonjolkan, malah persembahan pemain import sedia ada seperti Dylan Wenzell-Halls juga kurang memberangsangkan jika dibandingkan dengan musim lalu.
"Saya setuju jika penyokong berasakan para pemain import tersebut dianggap scam kerana mereka dilihat masih bergelut daripada segi prestasi dan tidak beza dengan kualiti pemain tempatan.
"Tapi harus diingat, saingan masih awal dan mungkin pemain-pemain ni masih perlukan masa," kata Afiq kepada Majoriti.
Walaupun begitu, Penang sudah beberapa musim sering membawa masuk pemain yang kurang berkualiti hinggakan selalu mendapat kritikan penyokong.
Bagi Afiq, Penang harus mengeluarkan belanja yang lebih besar jika mahu membawa pemain lebih baik sekali gus mengelak daripada terkena import scam.
"Penang wajar melantik pencari bakat yang berkualiti dan mampu memenuhi keperluan jurulatih untuk pasukan menerusi pemain yang dibawa.
"Jika tidak, mereka perlu keluarkan modal lebih sikit untuk dapatkan pemain lebih berkualiti," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram