
TOMBOL kecil di sisi penyandar tangan diputarkan beberapa kali bagi membolehkan kerusi roda itu bergerak ke depan dan belakang.
Gerakannya mungkin tidak sepantas orang lain namun ia membantu Radin Daniel, 34, yang menghidap celebral palsy bergerak dengan mudah untuk menguruskan kehidupan harian dan keluar mencari rezeki demi membina impiannya tersendiri.
Dengan sebelah tangan, Radin mengambil bekas plastik kosong untuk mengisinya dengan biskut dan kekacang beraneka perisa.
Radin memulakan perniagaan menjual pelitup muka ketika Covid-19 sebagai permulaan sebelum dia beralih kepada bisnes biskut nostalgia. — LinkedIn
Setiap penutup bekas ditampal dengan label jenama Daniel Beeskut sebelum dibalut dengan pelekat bagi memastikan produknya sentiasa segar dan tidak masuk angin.
Kecekalan anak yatim piatu itu membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan halangan untuk berjaya dan berdikari.
Mesra disapa Radin, anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, keadaan kesihatannya yang menghidap cerebral palsy sejak lahir menyebabkan dia tidak dapat menggerakkan tangan dan kaki sebelah kiri, memaksanya menggunakan kerusi roda sejak sekolah menengah.
"Waktu kecil saya boleh jalan lagi tapi dah masuk sekolah menengah, pergerakan makin terhad hingga perlu berkerusi roda," katanya kepada Majoriti.
Cerita Radin, dia dibesarkan di rumah pengasuh di Kuala Lumpur hingga berumur 13 tahun sebelum dipindahkan ke sekolah berasrama khas untuk orang kurang upaya (OKU) di Pulau Pinang.
Sebaik tamat persekolahan, Radin kembali ke ibu negara untuk mencari pekerjaan dengan dia bekerja sebagai receptionist dan admin selama beberapa tahun.
Cabaran menjalankan bisnes biskut tin tidak mematahkan semangat Radin, malah dia berusaha memperbaiki perniagaannya. — LinkedIn
Radin mengakui dia terpaksa berhenti kerana keadaan tempat kerja khususnya tandas yang kurang mesra OKU, namun tanpa disangka pandemik Covid-19 melanda negara menyebabkan peluang kerja ketika itu amat terhad.
Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Radin memulakan perniagaan menjual pelitup muka sebagai permulaan sebelum dia beralih kepada bisnes biskut nostalgia.
Dengan modal yang terbatas, Radin mendapatkan bekalan biskut tin daripada pembekal di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Selayang.
"Saya akan buat pembungkusan semula di bawah jenama Danial Beeskut. Apabila packing, saya guna satu tangan saja, jadi akan ambil masa bagi menyiapkan tempahan.
"Saya harap semua faham keadaan diri ini. Saya sedih pula ada pelanggan yang dakwa saya tipu, fishy atau scammer sebab buat penghantaran lambat.
"Pernah juga ada pelanggan dakwa biskut dah lemau apabila sampai di tangannya dan bertindak membuang semua biskut itu.
"Lebih menyedihkan, dia minta saya anggap pembeliannya sebagai sedekah tapi bagi saya, perbuatan itu tidak ikhlas dan diibaratkan seperti menjatuhkan maruah," tutur Radin.
Pembelian Daniel Beeskut juga boleh diinfakkan kepada pusat tahfiz, rumah anak yatim dan sebagainya. — LinkedIn
Katanya, dia akan menggantikan semula dengan biskut lain jika ada pelanggan menerima produk jualannya dalam keadaan tidak elok.
Cabaran sedemikian tidak mematahkan semangat Radin, malah dia berusaha memperbaiki perniagaannya.
Fasih berbahasa Cina dan Inggeris, Radin memanfaatkan media sosial seperti TikTok, LinkedIn dan Instagram untuk mempromosikan biskutnya walaupun menghadapi keterbatasan fizikal.
"Duit daripada jualan akan digunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM550, bil bulanan dan makanan harian.
"Pendapatan berniaga saya tak banyak pun. Ada masa dapat RM200 ke RM300 tapi pernah juga tak dapat apa-apa.
"Kalau keadaan sedemikian, saya bertahanlah, saya puasa atau makan roti saja andai tiada jualan pada hari berkenaan," ujarnya yang pada masa sama turut mendapat bantuan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ditanya mengapa menyewa bersendirian, Radin dengan spontan berkata, dia pernah ada pengalaman pahit duduk dengan penyewa yang pengotor dan tidak suka mengemas rumah.
"Saya seorang yang pembersih. Walaupun dalam keadaan cacat begini, saya pastikan rumah teratur dan kemas.
"Pernah saya menyewa dengan orang tapi dia tak cuci dapur selepas memasak dan suka meninggalkan pinggan mangkuk tak berbasuh. Alih-alih saya yang kena buat semua," ceritanya kesal.
Radin turut menyertai acara seperti Pingmin community market untuk memasarkan biskutnya. — LinkedIn
Meskipun hidup dalam kepayahan, Radin bersyukur kerana jiran tetangga di rumah sewanya di Kepong baik terhadap dirinya.
"Ada jiran yang sudah dianggap sebagai kawan akan bantu kalau saya perlu bergerak kemana-mana menaiki kereta," katanya.
Selain berniaga, Radin mempunyai impian untuk berkongsi kisah hidupnya sebagai inspirasi kepada orang lain melalui ceramah motivasi suatu hari nanti.
“Saya seorang yang optimis. Saya mahu sebarkan positiviti kepada masyarakat melalui inspirational talk," katanya.
Memeluk Islam pada 2023, Radin menyifatkan perniagaan bukan sekadar mencari wang, tetapi juga jalan untuk berdikari dan membina kehidupan yang lebih baik walaupun penuh kekangan.
Dia berharap agar masyarakat terus menyokong perniagaannya dan membantu mereka yang menghadapi cabaran seperti dirinya.
"Saya berharap rakyat Malaysia terus sokong saya. Beli biskut, infak biskut supaya saya dapat sedekahkan kepada surau, rumah anak yatim dan pusat tahfiz yang memerlukan.
"Sokongan daripada orang ramai sangat penting. Beli biskut saya, bantu saya terus berjuang,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram