'Elak anak pakai skirt', wanita kongsi detik cemas kanak-kanak perempuan jadi mangsa pedofilia di pusat beli-belah


  • Bonda
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Pakaian dan fesyen kanak-kanak perempuan memainkan peranan penting berkaitan isu pedofilia. — Gambar hiasan/Freepik

KES cubaan gangguan dan eksploitasi seksual bukan sahaja berlaku kepada remaja, malah kanak-kanak seawal usia pra sekolah turut berisiko menjadi mangsa.

Situasi itu menuntut ibu bapa agar lebih peka dari segi pemantauan, serta mendidik anak cara melindungi diri apabila berdepan orang asing.

Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi pengalamannya apabila menyaksikan sendiri situasi kanak-kanak perempuan hampir menjadi mangsa gangguan seksual di sebuah pusat beli-belah.

BACA LAGI: Masih ada yang keliru perlu mandi wiladah lepas bersalin, ketahui hukum, situasi haram sudut Islam

BACA LAGI: Majlis kahwin bertukar jadi pengebumian, pengantin lelaki hilang 24 ahli keluarga sekelip mata dihanyut banjir

Difahamkan, kejadian berlaku ketika seorang kanak-kanak perempuan berusia sekitar tiga tahun sedang duduk seorang diri di kerusi sementara menunggu bapanya ke tandas.

"Kisahnya masa kat tandas aku tunggu suami bawa anak lelaki pergi buang air, kat luar tu ada kerusi untuk menunggu. Ada la sorang budak perempuan dalam umur tiga tahun macam tu, lawa tau putih pastu rambut curl pakai croptop, skirt denim.

"Aku perhati je dia konon tolong tengok-tengok sambil borak dengan anak aku. Tiba-tiba datang sorang lelaki duduk sebelah dia tanya budak tu 'dik, kenapa duduk sorang, ayah mana?

"Budak tu cakap la papa pergi toilet, pastu tiba-tiba je aku tengok tangan dia pegang dan gosok-gosok peha budak tu," kongsinya di laman Threads.

 

 

 

Menyedari situasi itu sebagai satu bentuk gangguan pedofilia, wanita dikenali sebagai @dhea_hana itu pantas menjerkah lelaki berkenaan sebelum dia melarikan diri.

Bimbang insiden lebih buruk berlaku, dia mengambil pendekatan untuk menunggui bersama kanak-kanak itu sehingga bapanya tiba.

Wanita itu juga memaklumkan akan melaporkan insiden berkenaan kepada pihak khidmat pelanggan kerana lokasi terbabit dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Pesanan buat ibu bapa

Dalam pada itu, wanita tersebut menegaskan insiden berkenaan menjadi peringatan penting buat semua ibu bapa agar lebih berhati-hati soal keselamatan anak.

Paling utama, ibu bapa seharusnya lebih cakna akan pemakaian si kecil yang boleh mengundang bahaya pedofilia di tempat awam.

"Nak berfesyen boleh, tapi jangan la tak cukup kain, ajar anak pakai seluar tak pun legging.

"Kedua, ajar anak menjerit atau mintak tolong kalau ada orang mula sentuh private part dan jangan tinggal anak seorang diri tanpa orang lain.

"Anak aku kalau keluar mana-mana, memang seluar je pakai dress pun, aku pakaikan legging dalamnya, biar la orang nak cakap tak up to date pun kisah pula aku, ramai pedofilia sekarang ni tak selamat dah budak-budak tak kira lelaki atau perempuan," katanya lagi.

Pun begitu, belum ada sebarang kenyataan polis berhubung isu terbabit setakat ini dan identiti pelaku juga tidak diketahui.

Orang ramai khususnya ibu bapa disarankan untuk sentiasa memantau keselamatan anak-anak dengan keutamaan perlu diberikan kepada pemakaian mereka agar tidak mengundang gangguan seksual oleh individu tidak bertanggungjawab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram