Masih ada yang keliru perlu mandi wiladah lepas bersalin, ketahui hukum, situasi haram sudut Islam


  • Bonda
  • Ahad, 24 Ogos 2025

Ramai wanita masih keliru dengan hukum mandi wiladah usai bersalin. — Gambar hiasan/Janaan AI

ISU mandi wiladah selepas bersalin sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan wanita Islam, terutama ibu baru melahirkan cahaya mata pertama.

Ramai beranggapan mandi wiladah perlu dilakukan sejurus selepas bersalin, sedangkan hukum sebenar bergantung kepada keadaan darah nifas.

Hal itu menjadi bualan hangat warga maya kebelakangan ini yang rata-ratanya masih kurang jelas tentang isu berbangkit, malah lebih teruk apabila segelintir daripadanya mengambil mudah hukum dari sudut Islam.

BACA LAGI: Majlis kahwin bertukar jadi pengebumian, pengantin lelaki hilang 24 ahli keluarga sekelip mata dihanyut banjir

BACA LAGI: 'Biar aku bodoh, asal anak aku pandai', kata ibu pembakar semangat, terima biasiswa Chevening sambung belajar di Universiti Oxford

"Kenapa masih ramai wanita islam mandi wiladah selepas bersalin, sedangkan darah nifas keluar?

"Benda ni fardu Ain, ilmu Feqah. Tolong ibu-ibu ambil tahu benda ni ilmu wajib, mandi wiladah sejurus lepas bersalin untuk wanita yang tiada darah nifas sahaja.

"Kalau darah nifas keluar, Wajib mandi nifas dia sebenarnya sekali wiladah la tu selepas darah nifas kering," ciap Hazwani Hamdan di laman Threads baru-baru ini.

 

 

Menurut pandangan fuqaha' dirujuk melalui Mufti Wilayah Persekutuan, wiladah merujuk kepada mandi wajib bagi wanita yang melahirkan anak.

Walau bagaimanapun, kebiasaannya wanita akan mengalami nifas selepas bersalin.

Dalam situasi itu, individu hanya diwajibkan mandi nifas setelah darah nifas berhenti iaitu mandi sekali sahaja, tidak perlu mengasingkan antara kedua-duanya.

 

Definisi wiladah dalam Fiqh

Berdasarkan kitab Fiqh al-Manhaji (1/82), wiladah bermaksud bersalin, sama ada melibatkan kelahiran normal, pembedahan (caesarean), keguguran yang mengeluarkan alaqah (gumpalan darah) atau mudghah (gumpalan daging).

Semua keadaan itu tetap dikira sebagai hadas besar yang mewajibkan mandi.

Jika seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah nifas, maka tetap diwajibkan mandi wiladah kerana kedudukannya sama dengan mandi janabah.

 

Perlu mandi dua kali

Persoalan sering timbul sama ada wanita perlu mandi dua kali, iaitu untuk wiladah dan nifas.

Menurut pandangan ulama seperti dihuraikan oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu’tamad (1/137), hanya sekali mandi wajib sudah memadai.

Syaratnya berniat mengangkat hadas besar, sama ada kerana wiladah, nifas, haid atau janabah.

 

Bila perlu mandi wajib?

Keperluan untuk mandi wajib akibat nifas adalah setelah darah benar-benar berhenti dalam keadaan naqaa', iaitu apabila kapas yang dimasukkan ke dalam faraj tidak lagi menunjukkan kesan darah, kekuningan atau kekeruhan.

Sekiranya masih ada kesan walaupun darah berhenti mengalir, wanita tersebut masih dianggap bernifas.

Dalam pada itu, hukum mandi wiladah penting untuk difahami kerana ia berkait langsung dengan ibadah wajib seperti solat dan puasa.

Jika dilakukan pada waktu tidak tepat, mandi wajib boleh terbatal niatnya dan ibadah selepas itu tidak sah.

Para ulama menegaskan, tidak perlu terburu-buru mandi wiladah sejurus selepas bersalin jika darah nifas keluar sebaliknya, tunggulah sehingga nifas berhenti sepenuhnya sebelum mandi wajib.

Maka, wanita yang bersalin wajib mandi hadas besar sama ada melalui wiladah atau nifas namun, hanya sekali mandi sudah mencukupi, bergantung pada situasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram