
SELEBRITI dan cef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, menitip pesanan buat golongan muda agar tidak mudah berputus asa dalam mencari rezeki.
Demi masa depan yang terjamin, bapa kepada dua cahaya mata itu menggesa agar generasi hari ini bekerja keras demi masa depan yang lebih baik.
Menerusi perkongsian seorang wanita di laman Threads baru-baru ini, pesanan itu asalnya ditujukan khas buat anaknya namun, juga sesuai untuk setiap anak-anak muda luar sana yang mungkin masih buntu dalam pencarian hidup.
BACA LAGI: 'Cinta Mok, Pok jadi inspirasi', 42 tahun usia perkahwinan ajar Mekyun erti kasih sayang sebenar
"Sekolah belajar rajin-rajin ya usaha dengar kata mak ayah, atuk ni dari muda kat Felda ni kerja tanam sayur, berniaga masa di universiti pun kerja restoran cuci tandas semua nak cari duit sambung belajar.
"Dah belajar kerja bank dan akauntan pun atuk kerja kuat lagi sampai la sekarang ni dah 67 tahun masih lagi mencari duit, nak buka cawangan restoran yang ke-15 minggu depan.
"Sebab itu kalau nak jadi berjaya, macam atuk boleh melancong satu dunia buat rumah besar cantik-cantik sebab apa? Atuk fikir masa muda kalau tak buat semua ni akan susah di hujung usia nanti," ujarnya.
Beliau dalam masa sama turut mengingatkan anak muda bahawa zaman kini lebih mencabar, dengan kos sara hidup yang tinggi dan keperluan kewangan yang semakin mendesak.
Oleh itu, menurutnya sangat penting untuk membina tabiat bekerja keras sejak usia awal dan pada masa sama, sentiasa mengutamakan pelajaran.
"Atuk datang dari keluarga Felda, sangat miskin dan susah asal usul dulu-dulu tak ada apa tapi atuk kerja keras untuk pastikan hidup senang bila usia tua nanti dan kalau saya boleh buat, kamu pun boleh," katanya.
Kejayaan Chef Wan
Sepanjang lebih tiga dekad bergelar cef selebriti, Chef Wan bukan sahaja dikenali di Malaysia, malah turut mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Chef Selebriti Terbaik Dunia oleh Gourmand World Cookbook Awards selain turut pernah dilantik sebagai juri program realiti Master Chef United Kingdom pada 2017.
Selain itu, anak felda kelahiran Raub, Pahang itu juga aktif dalam bidang penulisan buku resipi, hos rancangan masakan dan kini giat membangunkan empayar perniagaannya dalam sektor kulinari.
Dedikasi dan kerja kerasnya bukan sahaja menjadikan beliau ikon dalam dunia masakan tempatan, malah inspirasi ramai anak muda untuk berjaya melalui disiplin, usaha dan semangatnya walaupun sudah bergelar warga emas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram