
SETIAP kali tibanya sambutan Hari Kemerdekaan, suasana meriah bukan sahaja dihiasi dengan kibaran Jalur Gemilang, malah kreativiti rakyat Malaysia turut terserlah melalui gaya fesyen, khususnya melibatkan kanak-kanak.
Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-68 tahun ini, pelbagai rekaan pakaian patriotik terserlah menerusi pertandingan pakaian beragam peringkat sekolah.
Kreativiti serta keunikan tema dipamerkan sentiasa mencuri tumpuan dengan rekaan busana indah yang menggambarkan identiti tanah air.
BACA LAGI: 'Cinta Mok, Pok jadi inspirasi', 42 tahun usia perkahwinan ajar Mekyun erti kasih sayang sebenar
Hangat berlangsungnya pertandingan pakaian beragam sekolah ketika ini, berikut merupakan lima fesyen kanak-kanak yang menjadi bualan ramai pengguna laman sosial.
1. Gaun bungkusan roti
Seorang guru di Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini 2, Skudai, Johor meluahkan keterujaannya melihatkan pakaian muridnya sempena kemerdekaan tahun ini.
Tampil kreatif menjadikan pembalut roti sebagai gaun bercorakkan warna merah putih bendera jalur gemilang, ia nyata mencuri tumpuan pada acara tersebut.
Perkongsian seorang guru @bellanmys di laman sosial berkaitan keunikan pakaian anak muridnya.
Difahamkan, ibu kanak-kanak itu telah mengumpul pembalut roti tersebut sejak dari tahun lepas semata-mata demi menghasilkan rekaan busana mirip bendera kebangsaan.
Berkat kegigihan serta keunikan dipamerkan, si kecil bernama Amira itu dinobatkan sebagai juara tempat pertama bagi pertandingan peringkat sekolah itu baru-baru ini.
2. Fesyen sayap
Persis burung helang, keunikan warna-warni sayap dipamerkan seorang remaja perempuan juga tidak terkecuali daripada tersenarai antara pilihan ramai di TikTok.
Seorang bapa @asharulnizam berkongsi kreativiti serta keunikan pakaian merdeka anaknya.
Tampil bergaya dengan gaun berkonsepkan Jalur Gemilang, kreativiti si bapa dalam mencipta inovasi pakaian itu amat jarang ditemukan dalam mana-mana acara.
Malah, idea rekaan pakaian itu difahamkan tercetus daripada ilham remaja tersebut yang mengimpikan busana mirip burung.
3. Skirt botol mineral
Fesyen 'buat sendiri' atau DIY juga tidak ketinggalan mewarnai pertandingan beragam sempena kemerdekaan tahun ini.
Konsep rekaan berasaskan bahan kitar semula menjadi taruhan @nor_eeqa pada busana anaknya.
Seorang kanak-kanak perempuan di sekolah sekitar Muar baru-baru ini tampil dengan kostum unik hasil kreativiti ibu bapa menggunakan kain perca bendera, manik berwarna patriotik dan hiasan kertas berkilau.
Paling kreatif pastinya skirt diperbuat daripada botol plastik yang dipotong dan digulung menjadikan ia mirip gaun animasi popular Cinderella.
4. Pahlawan Srikandi
Dalam pada lambakan fesyen dan trend pakaian terkini, segelintir kanak-kanak masih mengekalkan rekaan pakaian ala pahlawan Melayu sempena Merdeka tahun ini.
Lengkap dengan keris dan busana songket yang diolah dengan warna bendera Malaysia, penampilan si cilik dari Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Perintis 1, Johor Bahru, Johor ini mencerminkan perjuangan generasi terdahulu yang wajar diteladani anak-anak muda.
Rekaan berkonsepkan pahlawan srikandi @anyssa_alyssa mejulang kejayaan anaknya di peringkat negeri Johor.
Puteri Raisya Eva Ryanna mencipta sejarah tersendiri apabila menggondol dua gelaran dalam masa sehari iaitu juara pertandingan busana merdeka anjuran Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan pertandingan peringkat Negeri Johor baru-baru ini.
Jelas ibunya, @anissa_alyssa berharap momen itu dapat diabadikan sebagai pengalaman dan kenangan manis anaknya apabila meningkat dewasa kelak.
5. Wajah 10 Perdana Menteri
Menyaksikan arus pemodenan negara yang kian berkembang pesat, jasa serta pengorbanan kesemua sepuluh Perdana Menteri tidak pernah dilupakan.
Tampil kreatif, @mamachaaa menampilkan wajah pemimpin negara pada busana merdeka anaknya.
Itulah yang cuba dipamerkan seorang kanak-kanak perempuan ini yang tampil unik menjulang pemimpin negara menerusi fesyen diperagakan pada pertandingan di sekolahnya.
Dipadankan dengan kibaran jalur gemilang pada mahkota mirip permaisuri itu, melengkapkan busana unik itu yang kemudiannya dinobatkan sebagai juara keseluruhan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram