Enggan tunduk pada skeptikal gender atau usia, Dr Madihah buktikan wanita mampu kemudi klinik sendiri


  • Sukses
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Dr. Norul Madihah berjaya membuka klinik pergigian sendiri pada Mac lalu, dengan sokongan sepupunya yang juga rakan kongsi perniagaan.

SEDARI kecil, bayangan kerjaya sebagai jurutera sudah bermain dalam minda Norul Madihah M Ashaari, 30, mengikuti jejak langkah ibu bapa serta enam orang abang dan kakaknya. 

Namun, takdir sering punya rahsia yang tak siapa boleh teka. Harapan ibu dan ayah untuk melihat sekurang-kurangnya seorang anak mereka bergelar doktor akhirnya menukar haluan hidup si bongsu daripada tujuh beradik itu.

Dari mimpi kejuruteraan, langkahnya berpaling ke medan pergigian, sehingga membawa beliau ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Kuantan, Pahang menimba ilmu dalam bidang pembedahan pergigian.

BACA LAGI: 'Mak pesan buat baju jangan seksi-seksi', titipan bonda jadi pegangan Hafiza bawa jenama fesyen Muslimah

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah jual kereta nak tampung operasi bisnes, pasangan pengasas Ahmad's Fried Chicken enggan bersaing, mahu sama-sama 'go local'

"Pada masa itu, tawaran jurusan kejuruteraan kebanyakannya di universiti luar negara, ibu dan ayah tak benarkan.

"Jadi dalam UPU (sistem Unit Pusat Universiti) waktu itu saya isi (perubatan) untuk sedapkan hati ibu ayah saja, tapi itu yang kita dapat.

"Alhamdulillah, selepas beberapa tahun belajar dan masuk ke tahun klinikal, saya sedar ALLAH tahu apa yang terbaik untuk saya," kongsinya kepada Majoriti.

Dr. Madihah ketika melakukan rawatan kepada pesakitnya di Klinik Pergigian Madihah. — Instagram/norulmadihahh

Usai pengajian, wanita yang mesra disapa Dr. Madihah itu berkhidmat di sektor kerajaan bermula 2021 hingga 2023 sebelum beralih ke klinik swasta selama hampir dua tahun. 

Pengalaman di kedua-dua sektor itu membuka matanya tentang hala tuju kerjaya yang lebih luas.

“Berkhidmat di sektor kerajaan, ruang masa dan rawatan agak terbatas, manakala di swasta pula, saya dapat fokus pada rawatan lebih mendalam, seorang pesakit pada satu masa. 

"Dari situlah saya lihat kecenderungan untuk buka klinik sendiri,” ungkapnya yang meminati subjek Matematik Tambahan dan Fizik.

Sehinggalah beliau berjaya membuka Klinik Pergigian Madihah pada Mac lalu, dengan sokongan sepupunya yang juga rakan kongsi perniagaan dan mentor dalam pengurusan kewangan.

Beliau berkata, klinik yang beroperasi di Kota Warisan, Sepang, Selangor itu kini menawarkan pelbagai rawatan termasuk pemutihan gigi dengan harga RM399, jauh lebih murah berbanding pasaran sekitar RM1,000.

"Rawatan pendakap gigi dan clear aligner (pelurus gigi lutsinar) menjadi antara perkhidmatan paling mendapat permintaan ketika ini. 

"Dalam tempoh enam bulan beroperasi, Alhamdulillah lebih 500 pesakit baharu telah mendaftar di klinik, dengan purata lebih 100 pesakit baharu setiap bulan," ujarnya yang tidak lokek dengan senyuman.

Akui Dr. Madihah, suasana santai di Klinik Pergigian Madihah berupaya memberikan ketenangan buat pesakit. 

Kanser

Sebagai pengamal pergigian, tugasnya bukan sekadar melihat gigi semata-mata, tetapi menilai keseluruhan keadaan pesakit.

Cerita Dr. Madihah, beliau baru-baru ini menerima seorang pesakit lelaki berusia 30-an yang mengadu gusinya sering berdarah. 

“Pesakit tersebut ingatkan cuma masalah gosok gigi tapi bila diperiksa, saya syak ada kaitan dengan penyakit sistemik. 

"Selepas dirujuk di hospiral, rupanya beliau mengalami kanser darah tahap empat. Kena tahu bahawa tugas doktor gigi bukan sekadar rawat gigi tapi juga boleh menjadi first detector kepada penyakit serius,” jelasnya yang turut aktif menjalankan kerja-kerja kebaikan di dalam dan luar negara.

Sebagai wanita muda yang memiliki klinik sendiri, Dr. Madihah tidak terlepas daripada stereotaip masyarakat. 

Stereotaip

Sebagai wanita muda yang memiliki klinik sendiri, Dr. Madihah tidak terlepas daripada stereotaip masyarakat. 

Ada yang meragui kemahirannya kerana usia muda, tidak kurang juga pesakit lelaki mempersoalkan kekuatan doktor perempuan untuk melakukan prosedur mencabut gigi.

“Biasanya pesakit akan fikir kalau doktor perempuan, mereka risau saya tak cukup tenaga. 

"Sedangkan realitinya, cabut gigi bukan semata-mata soal tenaga, tetapi lebih kepada teknik yang betul,” maklumnya.

Beliau terkenang pengalaman serupa ketika merawat pesakit lelaki berusia lingkungan 50-an sebelum ini.

Isteri pesakit tersebut, kata Dr. Madihah, pada mulanya kelihatan agak skeptikal apatah melihat tubuh molek wanita tersebut.

"Namun selepas selesai mencabut gigi suaminya, beliau mengakui terkejut dan beritahu staf saya, 'doktor itu nampak saja kecil tapi kuat," ceritanya tertawa.

Bagi Dr. Madihah, tanggungjawab sebagai pengamal perubatan hanyalah salah satu cabang daripada kehidupannya yang penuh warna. 

Bagaimanapun akui wanita yang fasih berbahasa Korea itu, cabaran yang lebih kerap dihadapinya bukan hanya kerana berstatus wanita, tetapi dek usia mudanya. 

“Semasa bertugas di klinik kerajaan dahulu, ada pesakit yang bertanya berapa lama saya sudah bekerja, malah ada yang mempersoalkan sama ada saya cukup berpengalaman atau tidak. 

"Kadang-kadang soalan tersebut agak sukar dijawab kerana di hospital kerajaan, pesakit tidak boleh memilih doktor. 

"Kalau saya terlalu jujur, contohnya baru dua tahun bekerja, mereka mungkin mahukan doktor lain,” tuturnya menambah pesakit paling muda di kliniknya setakat ini adalah bayi berusia tiga bulan.

Inspirasi

Bagi kebanyakan orang, menyempurnakan tugas hakiki sudah cukup memakan masa dan tenaga. 

Namun bagi Dr. Madihah, tanggungjawab sebagai pengamal perubatan hanyalah salah satu cabang daripada kehidupannya yang penuh warna. 

Selain mengurus klinik, beliau juga aktif sebagai pencipta kandungan, penulis buku dan tenaga pengajar bahasa Korea.

Menurut wanita dengan 175,000 pengikut di Instagram dan lebih 156,900 di TikTok, pembabitannya dalam dunia kandungan digital bukan untuk populariti, sebaliknya kerana rasa tanggungjawab.

Dr. Madihah menerbitkan tiga buku antaranya berjudul Baik-baik Saja, pada tahun lalu. — Instagram/norulmadihahh

Tambah Dr. Madihah, sebelum ini, dirinya lebih aktif dengan pelbagai aktiviti termasuk menerbitkan tiga buku berjudul Pesan dan Baik-baik Saja, termasuk Kenapa Hidup Makin Sunyi yang ditulis bersama Dr. Rozanizam Zakaria pada tahun lalu.

“Namun, sejak mengendalikan klinik sendiri, proses menulis agak perlahan. Mengurus bisnes menuntut fikiran secara rasional, sedangkan menulis memerlukan ruang emosi.

"Jadi agak mencabar untuk seimbangkan kedua-duanya. Namun kita tahu pengaruh media sosial sangat besar. Ada individu buat benda remeh pun boleh mempengaruhi ribuan orang. 

"Jadi saya rasa penting untuk ada suara yang menunjukkan contoh berbeza. Itulah yang mendorong saya menghasilkan kandungan,” bicaranya yang mempelajari bahasa Korea secara sendiri tanpa menghadiri kelas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram