
SUASANA di sebuah kedai menjual kasut dan pakaian bertukar pilu selepas seorang pekerja wanita tidak dapat menahan emosi sebaik melihat wajah pelanggan yang mirip arwah bapanya.
Insiden itu berlaku ketika lelaki berkenaan mengunjungi kedai tersebut bersama anak perempuannya, untuk membeli selipar dan aksesori hiasan.
Pada awalnya, pekerja wanita bertudung hijau berkenaan membantu mereka seperti biasa, sebelum menyerahkan tugas kepada rakan sekerja lain.
BACA LAGI: Alyah sebak terserempak individu mirip arwah abang, syukur dapat ubat rindu
BACA LAGI: Menitis air mata 'terserempak' wajah persis arwah nenek di Makkah, doa dimakbulkan
"Ditakdirkan memang lama betul (kami) duduk dalam kedai itu, beli selipar sambil mencari hiasan untuk letak pada selipar.
"Memang dia (pekerja) perhatikan saja saya dan ayah memilih," katanya di ruangan kapsyen video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok qistinaa0811.
Ujarnya, ketika hendak membuat pembayaran di kaunter, pekerja itu kembali menghampiri mereka.
Kongsi pemilik video itu lagi, dalam keadaan sebak, wanita berkenaan tiba-tiba menangis hingga terpaksa meminta bantuan majikannya menyambung tugas.
Menurut majikannya, gadis berkenaan terlalu sedih kerana wajah pelanggan lelaki itu seiras dengan arwah bapanya yang meninggal dunia tahun lalu.
“ALLAH... saya sudah tak tahan, ikut menangis juga, ayah pun sama. Kami berdua memang sensitif.
"Lepas itu, dia duduk di tepi meraung, menangis sambal lap (air mata) dengan tudungnya.
"Ayah terus tanya dia orang mana, katanya dari Semporna, Sabah," ujarnya.
Pemilik video itu bagaimanapun tidak pasti sama ada wanita itu sempat pulang ketika bapanya meninggal atau tidak.
Namun jelasnya, daripada cara menangis, jelas kelihatan betapa rapatnya hubungan anak beranak itu.
"Ayah tanya nak ambil gambar tak? Dia pusing mengangguk laju sambil menangis, jadi ayah pun pergi. Dia terus meluru peluk ayah.
"Lama dia peluk kemudian salam tangan ayah. Nampak sangat dia betul-betul rindu akan susuk seorang bapa.
"Lepas peluk salam memang berkali-kali dia minta maaf kepada kami.
“Terdetik di hati, nikmat ALLAH mana lagi yang aku dustakan. Rezeki umur ayah panjang dan masih ada depan mata. Tatkala orang lain dah tiada ayah," ungkapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram