[VIDEO] Pernah jual kereta nak tampung operasi bisnes, pasangan pengasas Ahmad's Fried Chicken enggan bersaing, mahu sama-sama 'go local'


  • Sukses
  • Isnin, 23 Jun 2025

Mohd Taufik (kiri) dan Lailatul Sarahjanna merancang memperluas empayar perniagaan pada masa akan datang.

MISI pasangan suami isteri ini jelas. Kehadiran mereka dalam pasaran makanan segera tempatan bukanlah berniat untuk bersaing dengan jenama sedia ada.

Bagi Mohd Taufik Khairuddin dan Lailatul Sarahjanna Mohamad Ismail, Ahmad's Fried Chicken bukan sekadar jenama makanan segera. 

Ia adalah manifestasi impian, misi dan cita rasa lokal yang diketengahkan dengan berani serta bijak.

BACA LAGI: [VIDEO] Jualan cecah 50,000 botol sebulan, pengasas Beauboss Perfume tak main 'cheat code' 

BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya dalam gaya Gen Z

Peluang bersemuka dengan pengasas bersama jenama itu, wajah Lailatul Sarahjanna nyata tidak lekang dengan senyuman. 

Asyik beliau bercerita tentang dunia perniagaan, yang sudah menjadi impiannya sejak dahulu.

Membuka bicara, usahawan berusia 34 tahun tersebut sama sekali tidak menyangka jenama itu akan berkembang pantas, dengan pembukaan 30 outlet merangkumi empat restoran, lima restoran mini dan 21 kios di seluruh negara, meski tidak sampai setahun beroperasi.

Menariknya pada 2 Jun lalu, restoran keempat dan outlet ke-30 yang terletak di Setiawangsa, Kuala Lumpur dirasmikan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Saya sebenarnya tak mahu bersaing dengan jenama tempatan sebab nak sama-sama go local. Lebih banyak produk lokal, lebih meriah industri," katanya kepada Majoriti.

Lailatul Sarahjanna bergambar di hadapan restoran Ahmad's Fried Chicken yang terletak di Setiawangsa.

Berkenalan sejak sama-sama menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak, bisnes sudah menjadi topik rutin buat suami isteri itu.

Meski mendaftar untuk jurusan berbeza, Lailatul Sarahjanna perakaunan manakala Taufik dalam bidang grafik, kedua-duanya melihat cabang bisnes memiliki masa depan lebih luas. 

 "Selepas tamat pengajian, masing-masing ceburi bidang berbeza namun, hati kami kekal pada perniagaan.

"Pada 2018, saya nekad berhenti kerja selepas melahirkan anak pertama. Saya enggan hantar anak ke pengasuh, jadi kami buat keputusan untuk kerja dari rumah. 

"Saya mulakan kedai bakeri kecil-kecilan, sementara suami bantu buat pemasaran,” ujarnya.

Keputusan untuk tidak lagi makan makanan segera dari jenama antarabangsa membawa kepada tercetusnya penubuhan Ahmad’s Fried Chicken pada Disember 2024. 

“Kami peminat ayam goreng, jadi apabila pelbagai isu timbul, lebih baik kami buat untuk makan sendiri saja. 

"Namun lepas mula jual di Senawang, Negeri Sembilan, sambutan diterima sangat luar biasa dan Alhamdulillah, ada yang berminat ajak jadi rakan niaga.

"Dari situ muncul idea untuk kembangkan perniagaan,” kongsinya menambah, Ahmad's Fried Chicken menyasarkan pembukaan 66 outlet baharu sepanjang 2025.

Siti Nurhaliza ketika merasmikan restoran keempat Ahmad's Fried Chicken.

Kecaman

Tidak dinafikan, sebagai pemain baharu dalam industri, mereka tidak terlepas daripada menerima kecaman dan kritikan.

“Ada yang kata ‘produk Melayu baru naik dah macam-macam’, tapi saya ambil semua itu sebagai ruang untuk perbaiki kesalahan. 

"Saya sentiasa percaya, setiap teguran adalah peluang untuk jadi lebih baik,” jelas anak bongsu daripada lima beradik tersebut.

Tambah beliau lagi, pasaran makanan segera di Malaysia sangat besar, mencecah anggaran lebih RM10 bilion. 

“Kalau kita ambil satu peratus daripada itu pun sudah cukup untuk berkembang,” ungkapnya.

Lailatul Sarahjanna menguruskan bahagian kewangan syarikat. 

Dinamik suami isteri

Ditanya pengalaman bekerja bersama suami, anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu sempat tertawa kecil sebelum mengakui perselisihan pendapat pernah sahaja berlaku. 

Namun pemisahan tugas katanya, menjadi kunci mengurangkan pergaduhan sesama mereka.

Lailatul Sarahjanna menguruskan bahagian kewangan, manakala suaminya menjaga pemasaran syarikat Mad Bean Holdings Sdn Bhd.

“Sejujurnya banyak juga bajet beliau saya tak luluskan sebab dalam pemasaran, mereka akan lakukan apa sahaja untuk pasarkan produk, tapi kita ada bajet tersendiri.

"Namun lama-kelamaan suami beri penerangan dan saya mulai faham, penjenamaan memang memerlukan peruntukan banyak untuk pengguna kenal. 

"Kita masih baru setahun jagung, jadi orang perlu tahu kenapa kena sokong produk kita," ujarnya.

Mohd Taufik menguruskan bahagian pemasaran syarikat Mad Bean Holdings Sdn Bhd.

Bagi ibu kepada dua cahaya mata itu, kejayaan hari ini bukan datang tanpa ujian. 

Beliau berkata, mereka juga pernah hampir menyerah dalam dunia perniagaan, terutama ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

“Waktu PKP, kami breakdown. Perniagaan bakeri terjejas teruk. Apatah lagi kami masih muda dan tiada latar belakang keluarga berniaga," tuturnya.

Disebabkan kekangan operasi, beban kos dan perubahan total dalam operasi, suami isteri berkenaan terpaksa menjual kereta untuk meneruskan kelangsungan bisnes. 

Namun, berputus asa bukanlah jawapan kepada masalah yang menimpa.

"Alhamdulillah kami bangkit, keluarga sangat menyokong. Ibu bantu jaga anak, ayah beri kata semangat dan pak cik pula banyak tunjuk ajar tentang selok-belok bisnes,” bicaranya.

Ayam goreng rangup merupakan antara tarikan di Ahmad’s Fried Chicken.

Pulangan pelaburan 

Jenama Ahmad’s Fried Chicken menjadi pilihan ramai rakan niaga, dengan lebih 1,000 permohonan lesen pembukaan premis.

Malah, berdasarkan rekod prestasi semasa, pulangan pelaburan (ROI) bagi rakan niaga jenama tersebut mampu dicapai dalam tempoh kurang daripada enam bulan.

“Itu yang membuatkan ramai yakin untuk jadi rakan niaga. Sistem kami terbukti berkesan dan cepat balik modal, Alhamdulillah,” katanya yang menyasarkan pembukaan outlet di Makkah dan Madinah dalam tempoh terdekat.

Lebih daripada sekadar jual ayam goreng, pasangan itu memiliki impian jangka panjang untuk melihat Ahmad’s Fried Chicken tersenarai di bursa saham (IPO). 

“Kita nak orang Malaysia boleh bangga, apabila satu hari nanti di luar negara orang kenal produk Ahmad ini dari Malaysia," katanya.

Mereka juga merancang memperluas empayar perniagaan dengan memperkenalkan Ahmad’s Bakery dan Ahmad’s Kitchen sebagai pusat pengeluaran dan kawalan mutu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram