'Mak pesan buat baju jangan seksi-seksi', titipan bonda jadi pegangan Hafiza bawa jenama fesyen Muslimah


  • Sukses
  • Isnin, 14 Jul 2025

Walau digabungkan dengan elemen moden, identiti patuh syariah tetap menjadi prinsip utama Hafiza dalam memperkenalkan jenama Minaz. — Minaz

DIBESARKAN dalam atmosfera seni saat bertatih mengenal kehidupan, sedikit sebanyak Hafiza Abd Hamid sudah terkena tempias jiwa itu.

Nyata, tidak memiliki pendidikan formal dalam bidang seni bukan satu aral untuk pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu mencipta figura pengasas kepada jenama fesyen muslimah, Minaz sejak 15 tahun lalu.

Bercerita kepada Majoriti, Hafiza berkata, ibu dan bapa saudaranya aktif dalam industri percetakan batik. 

BACA LAGI: [VIDEO] Dari temu bual ke rakan kongsi spa, kolaborasi Tyra dan Raja Amanda mampu raih lebih RM100,000 sebulan

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah jual kereta nak tampung operasi bisnes, pasangan pengasas Ahmad's Fried Chicken enggan bersaing, mahu sama-sama 'go local'

Justeru sedari kecil, beliau sudah dibiasakan dengan pengalaman mewarna dan mencanting corak flora pada kain tradisional berkenaan.

Malah ibunya, seorang bekas guru yang dikurniakan bakat menjahit, turut mencorakkan kehidupannya pada hari ini.

"Sebab itu jika disuruh melukis orang saya tak pandai tapi kalau nak menggambarkan bunga atau pemandangan, Insya-ALLAH boleh," selorohnya.

Naluri Hafiza lebih meminati dunia perniagaan dan seni kreativiti. — Minaz

Jika seni diwarisi daripada genetik ibu, bakat berniaga pula diturunkan oleh bapanya.

Sejak usia lima tahun, anak sulung daripada empat beradik itu sudah turun padang membantu bapanya berniaga di pasar malam dan pasar tani, menjual aneka barangan seperti stoking dan minyak angin. 

Pengalaman tersebut pada akhirnya memupuk jiwa usahawan dalam diri wanita mesra disapa Pija itu.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan pula, Hafiza sempat bekerja dalam bidang petroleum dan gas, khususnya bahagian perolehan (procurement). 

Namun, naluri sebenar dalam dirinya tidak pernah jauh dari dunia perniagaan dan kreativiti.

Beliau kemudian kembali membantu menguruskan akaun beberapa kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dikendalikan bapanya.

Dari situlah Hafiza mula mengumpul modal sedikit demi sedikit sebelum sempat mengusahakan sebuah tadika pada 2008 di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

“Dalam dua tahun saya jaga tadika bernama Bonda Mama, namun tak bertahan lama sebab hati ini memang lebih ke arah fesyen,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Minaz itu.

Jenama Minaz kini menjadi salah satu nama besar dalam industri fesyen Muslimah di Malaysia. — Minaz

Pertukaran pelajar 

Minatnya dalam fesyen kembali menyala semasa mengikuti program pertukaran pelajar di Korea Selatan semasa belajar di UiTM Shah Alam. 

Keindahan rekaan busana di negara empat musim tersebut, yang moden dan minimalis cukup menarik perhatiannya.

Timbul persoalan di hati, bagaimana beliau mahu menyesuaikan gaya itu dengan pemakaian  wanita beragama Islam.

“Semasa belajar dulu saya bawa pulang sedikit demi sedikit baju dari sana dan mula buat improvisasi. 

"Saya panjangkan lengan, tambah lapisan dan sebagainya. Maklumlah anak tukang jahit kan?

"Saya gunakan bilik kosong di tadika sebagai 'butik' untuk menyimpan segala pakaian dan barangan," kongsinya yang fasih berbahasa Korea.

Setahun selepas mencuba secara kecil-kecilan, anak jati Kajang itu akhirnya membuka butik pertamanya di Bangi, Selangor. 

Dari situlah lahirnya jenama Minaz, yang kini menjadi salah satu nama besar dalam industri fesyen Muslimah di Malaysia.

Hafiza (dua dari kanan) ketika menerima anugerah The Most Outstanding CEO pada acara 100 Top Young CEO 2022. — Minaz

Dalam lautan pelbagai gaya dan trend fesyen yang silih berganti, Minaz kekal teguh dengan identiti Muslimahnya.

Menurut Hafiza, keputusan mengkhususkan jenama Minaz kepada pakaian Muslimah bertitik tolak daripada akar kehidupan dan nilai yang dipegang sejak kecil.

“Saya memang pakai tudung dan mak pesan kalau nak buat baju, jangan yang seksi-seksi.

"Dari kecil pun memang dah terbiasa mak jahit baju kurung untuk adik-beradik.

"Saya pula bekas pelajar sekolah agama, jadi kita tengok mana yang bersesuaian dengan pemakaian saya," jelasnya menambah Minaz menawarkan pelbagai produk fesyen Muslimah seperti tudung, baju kurung, abaya dan beg tangan. 

Minaz juga dikenali dengan sentuhan fesyen yang diinspirasikan daripada Korea Selatan, hasil pengalaman Hafiza sebagai pelajar pertukaran di sana. 

Namun menurutnya, walau digabungkan dengan elemen moden, identiti patuh syariah tetap menjadi prinsip utama.

“Dari awal Minaz memang ada aura Korea tapi saya selalu ingatkan pasukan, jangan jadi mangsa fesyen sebab mesti kenal siapa pelanggan kita,” jelas wanita berkulit cerah itu.

Minaz dikenali dengan sentuhan fesyen yang diinspirasikan daripada Korea Selatan, hasil pengalaman Hafiza sebagai pelajar pertukaran di sana. — Minaz

Migrasi 

Tiada pelangi akan muncul tanpa hujan dan badai. Begitu juga halnya terjadi kepada jenama yang beroperasi di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, Selangor itu.

Cerita Hafiza, Minaz pernah berdepan detik perit dalam sejarah perniagaannya dengan kerugian mencecah lebih RM5 juta.

“Saya masih ingat waktu itu saya betul-betul terduduk. Ia terjadi sebab walapun ada barang rosak atau lambat sampai, kita tetap kena terima dan bayar kepada tukang jahit," katanya.

Ujar bekas penyanyi kumpulan nasyid Solehah itu lagi, pengalaman pahit tersebut banyak berpunca daripada kekurangan ilmu dalam aspek perundangan dan pengurusan rantaian bekalan. 

Walaupun berlatar belakang pendidikan perakaunan, beliau mengakui tidak cukup bersedia dari segi literasi undang-undang ketika mula berurusan dengan pembekal.

Tambahnya, ugutan muflis menjadi tekanan besar yang membayangi, lebih-lebih lagi ketika jenama Minaz sedang meningkat naik.

"Kita masa itu tak berani nak tolak barang rosak dan tak tahu hak sebagai pelanggan. 

"Kami selalu digertak, jika tidak ambil barang tersebut, kita akan muflis dan terima surat peguam.

"Dengar sahaja peguam dah menggigil sebab jenama tengah naik, bimbang reputasi jatuh,” jelasnya.

Namun bagi ibu empat anak itu, segala ujian adalah cara ALLAH SWT mendidiknya menjadi lebih sabar dan sebagai persediaan menghadapi cabaran lebih besar pada masa hadapan.

Minaz berkembang dengan pendekatan lebih segar dan berlandaskan prinsip patuh syariah. — Minaz

Mengimbas saat itu, Hafiza berkongsi beliau sebenarnya sudah pun mengambil langkah awal untuk berhijrah ke Korea Selatan, malah bercadang membuka restoran halal di kawasan tumpuan pelancong Muslim, Itaewon, Seoul.

Bersama suami dan anak-anak, beliau nekad untuk berpindah pada waktu itu. 

"Saya dah pergi ke pejabat MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia), tanya tentang peluang perniagaan. 

"Saya juga ada kenalan yang sanggup bantu buka restoran halal di sana. Saya ingat lagi dah pergi mark satu kedai,” bicaranya tertawa mengenang kembali detik itu.

Namun, takdir ALLAH mendahului segalanya. Wabak Covid-19 melanda dunia dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di Malaysia. 

Rancangan untuk berpindah dan membuka perniagaan di luar negara terhenti serta-merta.

“ALLAH dah rancang yang lebih baik untuk saya, PKP tak boleh ke luar (negara), duduklah di Malaysia,” ceritanya.

Namun, daripada halangan itu, lahirlah sinar baharu. Hafiza kembali menumpukan perhatian kepada Minaz dan mula memperkemas struktur perniagaan, strategi pemasaran serta hala tuju jenama agar lebih mantap dan mampan.

Ujian yang hampir membuat beliau berhenti kini menjadi bahan pembakar kejayaan, sehingga Minaz berkembang dengan pendekatan lebih segar dan berlandaskan prinsip patuh syariah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram