[VIDEO] Tewaskan 3,000 penari untuk muncul dalam MV Michael Jackson, wanita Sri Lanka-Amerika kini bergelar profesor antropologi


  • Sukses
  • Ahad, 24 Ogos 2025

Yamuna dipilih sendiri oleh Jackson untuk tampil dalam video muzik Black or White yang dilancarkan pada 1991. — Agensi

BAGI peminat muzik era 90-an, video muzik (MV) Black or White nyanyian Raja Pop, Michael Jackson pasti antara yang masih segar dalam ingatan.

Dilancarkan pada 1991, karya tersebut bukan sahaja mendahului zamannya dengan mesej kesedaran sosial, malah menampilkan gabungan budaya dunia melalui tarian, simbol dan visual ikonik.

Salah satu babak paling mencuri perhatian ialah penampilan tarian klasik India, Odissi, yang dipadukan dengan gaya gerakan moden Jackson.

BACA LAGI: Keluarga beri restu filem biografi baharu Michael Jackson

BACA LAGI: Selain pamer 'dress up' ala Michael Jackson, Mr D jadi 'barber' kegemaran anak-anak autisme hingga ada sanggup datang dari Sabah

 

 

Persembahan itu menyaksikan kemunculan nama Yamuna Sangarasivam, seorang artis Sri Lanka-Amerika yang dipilih sendiri oleh Jackson daripada lebih 3,000 penari yang hadir ke sesi uji bakat.

Penggambaran dijalankan di lebuh raya Los Angeles sehingga menyebabkan lalu lintas terhenti selama hampir 14 jam.

Video muzik itu turut membawa mesej besar yang menyentuh isu perkauman, perbezaan identiti dan harapan untuk dunia lebih inklusif, pada saat Amerika Syarikat (AS) berdepan rusuhan kaum serta insiden keganasan polis terhadap Rodney King.

Pentas dunia

Dilahirkan di Sri Lanka, Yamuna mula berjinak dengan tarian sejak berumur enam tahun sebelum berpindah bersama keluarganya ke AS pada usia sembilan tahun.

Ketika melanjutkan pengajian di Odisha, India, beliau berguru dengan maestro tarian Odissi, Gangadhar Pradhan.

Selain Odissi, Yamuna juga mahir dalam tarian Bharatanatyam, muzik klasik Carnatic dan piano klasik Barat.

Yamuna kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Program Wanita dan Kajian Gender di Nazareth College, New York. — Nazareth College

Latar seni itu membawanya ke University of Minnesota untuk bidang Muzikologi dan Piano, sebelum meneruskan Antropologi dan Etnokoreologi di University of California, Los Angeles (UCLA).

Ketika menuntut di UCLA, peluang keemasan hadir apabila peminat tegar Michael Jackson itu menyertai uji bakat Black or White, yang akhirnya mengubah perjalanan seni beliau.

Ahli akademik

Pada 2000, Yamuna memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Antropologi di Syracuse University.

Kini, beliau menjawat jawatan sebagai Pengarah Program Wanita dan Kajian Gender di Nazareth College, New York.

Bidang penyelidikannya meliputi nasionalisme, konflik, antropologi budaya, gender dan kelas sosial.

Tidak hanya dalam seni tari, Yamuna juga aktif dalam dunia akademik. Pada 2022, beliau menerbitkan buku bertajuk Nationalism, Terrorism, Patriotism: A Speculative Ethnography of War, yang mengupas Perang Saudara Sri Lanka selama 26 tahun.

Buku itu mengkaji bagaimana nasionalisme, keganasan dan patriotisme saling bertaut dalam membentuk naratif perang global menentang keganasan.

Dari pentas tarian bersama Michael Jackson hingga ke dunia akademik, Yamuna menjadi bukti bahawa seni dan ilmu mampu bergerak seiring, merentas sempadan budaya, bangsa serta zaman. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram